TAIPING:Majlis Perbandaran Taiping (MPT) memberi saranan supaya seluruh pihak termasuk Badan Bukan kerajaan (NGO) serta agensi-agensi kerajaan dan swasta agar berganding bahu untuk berusaha mengekalkan keharmonian, kelestarian dan kebersihan di Taman Tasik Taiping di sini. Yang Dipertua MPT Datuk Abd Rahim Md. Ariff berkata pihak MPT amat peka dan bertegas dalam penjagaan taman tasik ini dan sentiasa memastikan segala bentuk perancangan perlu mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian papan tanda ‘I LOVE TAIPING’ di tasik Taiping hari ini. Terdahulu papan tanda tersebut merupakan sumbangan Adun Pokok Asam Leow Thye Yih, yang bakal menjadi mercu tanda dan ‘photo corner’ di Lake Front, Taman Tasik Taiping sekaligus menjadi tarikan terbaru di sini. Sementara itu jelas Abd Rahim lagi, Taman Tasik Taiping adalah di antara lokasi di Taiping yang paling aktif dan paling banyak menerima kunjungan pelawat dan pelancong sejak dari dahulu lagi. “Taman Tasik Taiping dibangunkan secara asalnya mengikut konsep ‘Rolling Meadows’, iaitu konsep mengadaptasi kawasan hijau dan lapang berkontur dan pokok-pokok besar sebagai elemen utama serta tasik sebagai pelengkap lanskapny malah dalam catatan sejarah pernah menceritakan keindahan Taman Tasik Taiping ini ketika ia dibangunkan, kelihatan seolah-olah menyamai Kensington Park di London, iaitu sebuah taman awam yang tersenarai dalam lapan ‘Royal Park’ tercantik di London.
“Fungsi lain Taman Tasik Taiping selain sebagai taman awam dan taman rekreasi, ia juga adalah sebahagian dari zon takungan air untuk mengelakan kejadian banjir kilat di bandar Taiping. “Taman Tasik Taiping juga menjadi rumah kepada lebih 2,500 batang pokok dari lebih 75 spesis termasuk spesis eksotik seperti teratai putih, pokok seroja, pokok tembusu, pokok Hujan-Hujan, pokok Brazil Nut, Jacaranda Filicifolia serta pelbagai spesis tempatan,” katanya. Katanya lagi, taman ini sewajarnya dikekalkan sebagai aset dan khazanah negara dalam bentuk asalnya dan dalam masa yang sama dinikmati oleh orang ramai. “Sungguhpun MPT mempunyai jadual tetap mengurus dan membersihkan taman ini serta memiliki kuasa untuk menjalankan tindakakan penguatkuasaan, namun kerjasama orang ramai terutama pengunjung dan pelawat untuk menjaga taman ini amatlah diharapkan. “Inilah satu-satunya taman awam dalam bandar Taiping yang menjadi tumpuan rekreasi oleh penduduk tempatan dan pelawat serta satu-satunya kawasan hijau yang luas serta menjadi rumah kepada ribuan flora dan fauna, serangga dan unggas serta pelbagai hidupan kecil dan besar,” katanya.
Tambahnya pengiktirafan Taiping yang tersenarai dalam 100 destinasi lestari @ hijau terbaik dunia 2018 oleh Green Destination Award dan Taman Tasik Taiping sendiri pernah memenangi pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan termasuklah dinobatkan sebagai ’Best City & Town Park 2018’, Destinasi Pelancongan Warisan & Eko Terbaik oleh Malaysia Tourism Council Gold Award, Green Initiative Award oleh Malaysia Landscape Architecture Award 2017 dan lain-lain membuktikan keunikan taman tasik ini. “Anugerah-anugerah ini merupakan platform yang telah dipasakkan oleh MPT dengan bantuan dan kerjasama masyarakat yang turut sama menjaga kelestarian taman ini. “Namun tidak dinafikan terdapat segelintir masyarakat yang kurang beretika dan memandang enteng ke atas usaha yang telah dilaksanakan.Perbuatan merosakkan keindahan dan kebersihan taman tasik ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan sewajarnya dihentikan.
“Walaupun taman ini dibuka untuk orang awam namun ini tidak bermakna bahawa orang awam boleh sewenang-wenangnya melakukan perbuatan sesuka hati merek malah ada peraturan yang telah digariskan dan dipaparkan kepada umum dan semua pihak wajib mematuhi peraturan ini tanpa alasan dan sebab tertentu,” katanya. Berikutan itu katanya sebarang perancangan untuk pembangunan dalam radius 200 meter dari tapak warisan terbabit, perlulah mendapat ulasan dari Jabatan Warisan terlebih dahulu sebelum proses seterusnya.