Timbalan Speaker menghadiahkan pantun Buya Hamka kepada Bung Moktar

(10-8-2018)

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming sempat menghadiahkan pantun empat kerat nukilan pujangga terkenal Indonesia kepada Datuk Bung Mokhtar Raden (BN-Kinabatangan). Pantun empat kerat itu dibacakan sebelum beliau memberi izin kepada wakil rakyat pembangkang itu mengemukakan soalan tambahan. “Saya jemput Kinabatangan tapi sebelum Kinabatangan tanya soalan. Saya nak hadiahkan satu pantun kepada Kinabatangan. Teguh rumah kerana sendi; Runtuh sendi rumah binasa, Sendi bangsa ialah budi, Runtuh budi runtuhlah bangsa.”

“Ini pantun daripada Buya Hamka dan saya harap Kinabatangan jaga bahasa. Sila bertanya,” katanya. Bung Moktar yang tersenyum ketika mendengar pantun itu memberitahu beliau akan sentiasa menjaga bahasa. “Terima kasih tuan Yang Dipertua, tapi saya tak ada persediaan untuk jawab pantun, akan datang saya jawab. “Akan sentiasa dijaga tuan Yang Dipertua kecuali ada mereka-mereka yang tidak memulakannya,” katanya. Bung Moktar kemudian bertanya kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin sama ada kerajaan akan pertimbangkan umur 18 tahun dibenar mengundi dalam PRU15. Selesai bertanya, Kor Ming berkata, “Inilah cara bertanya. Dulu Kinabatangan sudah bertaubat jangan kecewakan saya.” Beliau juga sempat mengingatkan Kinabatangan agar kekal di dalam dewan kerana ada petua khas daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof selepas itu. Beliau juga mencuit perhatian apabila meminta Bung Moktar supaya berada di dalam dewan sebelum sesi soal jawab bermula.

“Sila duduk, jangan lari dari dewan kerana Yang Dipertua Dewan Rakyat akan keluarkan petua nanti,” katanya. Selasa lalu, Bung mencarut apabila dicelah berkaitan kasino ketika mengemukakan soalan berkaitan harga barang. Namun Bung telah menarik balik perkataan itu setelah didesak. Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) diberi amaran keras berhubung tindakannya mengeluarkan perkataan berunsur lucah dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin. Amaran itu diberikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusoff sebelum sesi perbahasan Rang Undang-undang Kastam dimulakan dalam sidang hari ini. “Saya ingin menyatakan sekiranya tindakan yang sama diulang, Yang Berhormat Kinabatangan akan dikeluarkan dari dewan yang mulia ini dengan serta merta untuk satu tempoh diperuntukkan di bawah Peraturan Mesyuarat 44,” ujarnya.