Tiada ‘big brother’ dalam PH Perak, kata Pengerusi Negeri.

(30-10-2017)

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Perak  Ahmad Faizal Azumu melahirkan kesyukuran kerana dalam mesyuarat PH semua pimpinan parti gabungan memberikan kerjasama cukup baik dalam membincangkan pemilihan kerusi di negeri itu sejak beliau dilantik menerajui negeri itu.

“Saya adakan mesyuarat PH yang saya pengerusikan sendiri saya bersyukur dengan penghormatan rakan komponen berikan.

“Saya terima baik dan bersyukur dan kesepakatan ini dapat kita teruskan.

“Di negeri Perak mudah sangat tiada polimik, kita dalam PH tiada siapa kontrol siapa tiada ‘big brother’. tiada berselisih faham semua berjalan dengan baik. Saya amat bersyukur,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Ahmad Faizal turut memberitahu pembahagian kerusi di negeri itu hampir di selesaikan walaupun terdapat pertindihan kerusi membabitkan kerusi Umno-BN.

Negeri Perak mempunyai 20 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dun.

“Kita sudah selesaikan 80 peratus pembahagian kerusi ada 20 peratus lagi pertindihan yang masih berunding. Daripada 59 kerusi Dun terdapat 31 kerusi Umno perlu dibahagikan antara PKR,AMANAH dan Bersatu yang mana 10 kerusi masih lagi bertindih.

“DAP mengekalkan kerusi yang pernah dimenangi parti itu sebagaimana diputuskan oleh Majlis Presiden PH mana-mana parti yang memegang kerusi pada PRU13 diteruskan pada PRU14,” ujarnya.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) berkata, hasrat PH Negeri adalah untuk meletakkan calon boleh menang dan memastikan jentera parti sudah bersedia menghadapi PRU14 akan datang.

“Saya perlu mencari calon berkredibiliti daripada semua latar belakang.

“Saya harap dapat mengenengahkan calon yang ada latar belakang akademik, profesional, agamawan dan kecekalan politik amat penting kerana kita akan lawan kerajaan yang ganas dan kleptokrasi.

“Jadi faktor kebolehmenangan ‘winable candidate’ itu penting dan tidak ada calon ‘payung terjun’ (calon luar) di Dun.

“Kalau di peringkat parlimen boleh ada calon luar. Bagi saya ‘politik’ adalah perkhidmatan jadi di Dun kena calon tempatan yang sedia berkhidmat,” ujarnya.

Ahmad Faizal,47, berkata PH di negeri itu akan memastikan setiap calon disaring sebaik mungkin bagi mengelakkan kontroversi membabitkan peribadi, rasuah, muflis yang akan menjejaskan keyakinan pengundi kelak.

Justeru katanya, saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendesak pembangkang menghantar senarai calon ke suruhanjaya itu tidak akan dilakukan sekiranya suruhanjaya itu tidak berhasrat untuk menyaring Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Kita ada banyak proses saringan di setiap kawasan Dun dan Parlimen. Dalam pemilihan calon kita senaraikan minimum 3 senarai calon dan saringkan mereka dalam cara kita sendiri.

“Bahkan bukan sahaja dibuat di peringkat negeri tetapi saringan yang sama akan di bawa ke peringat pusat untuk disaring lagi, untuk mencari calon yang sangat bersih.

“Cadangan SPRM bagus tetapi cadangan PH pula untuk desak SPRM siasat Najib pun bagus juga… jika boleh menyiasat RM2.6 bilion jika nak siasat latar belakang kita (calon PH) saya sokong tetapi benda baik kita suruh SPRM buat, tidak mahu buat pula.Jika begitu elok kita saring sendiri calon masing-masing,” ujarnya.

Ditanya kuota calon yang akan mengisi 59 kerusi Dun dan 20 Parlimen beliau berkata, lebih cenderung untuk memilih calon wanita dan pemuda dari Bersatu dan beliau enggan mengulas mengenai kuota calon bagi PH Negeri.

“Saya suka lebih calon wanita- saya dapat lihat ahli kami  di kalangan Srikandi misalnya, komitmen kerja dan disiplin cukup tinggi. Mereka datang 10 orang kerja macam 100 orang. Dikalangan lelaki semangat kuat, kerja kurang dan cakap banyak.

“Saya suka menonjolkan wanita tetapi di peringkat parti  kita akan menengahkan 20 wanita dan 20 % Armada.

“Tetapi bagi parti gabungan dalam PH saya tak mahu terlalu masuk campur dalam urusan pemilihan calon mereka,” ujarnya yang lebih selesa keputusan dibuat oleh parti masing-masing dan dimuktamadkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan kelak.

Semalam Pakatan Harapan Perak telah mengumumkan barisan kepimpinan jawatankuasa gabungan itu.