PM : Warga asing tidak perlu di bawa masuk menetap di Malaysia

(14-06-2018)

Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak percaya pelaburan langsung asing untuk pembangunan negara perlu membawa masuk warga asing dan membenarkan mereka menetap di Malaysia. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tetap menjalinkan hubungan baik dengan China, namun enggan berhutang dengan negara itu. Beliau menegaskan kerajaan sebelumnya meminjam sejumlah wang untuk projek besar dan satu-satunya negara yang sanggup meminjamkan wang yang begita tinggi amaun ialah China.

Beliau berkata, tiada siapa yang mengambil berat dan peduli sama ada Malaysia mampu membayar pinjaman itu atau tidak. “Oleh itu, kita perlu mencari jalan dan cara untuk mengurangkan pinjaman itu di samping menjalin hubungan sedia ada dengan China sebagai rakan perdagangan yang baik,” kata Dr Mahathir pada sesi dialog anjuran Japan National Press Club di Tokyo. Terdahulu, Dr Mahathir yang dalam lawatan kerja 3 hari ke Jepun, menghadiri Persidangan Antarabangsa Ke-24 dan membincang mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di sebuah hotel terkemuka di ibu negara Jepun. Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, secara umumnya, kerajaan tidak percaya pelaburan langsung asing untuk pembangunan negara perlu melibatkan warga asing yang dibawa masuk dan menetap di Malaysia. “Mereka (pemaju) boleh melaksanakan pembangunan, tetapi kita tidak akan membenarkan warga asing menetap di negara kita.” kata Tun Dr Mahathir. Beliau juga berkata bahawa banyak negara mengamalkan langkah sama.

“Amerika Syarikat sedang membina dinding di sempadan Mexico, mereka mahu memelihara negara itu hanya untuk rakyatnya sendiri dan begitu juga dengan negara lain,” kata Perdana Menteri yang menjelaskan pendirian Malaysia berhubung perkara tersebut. Di samping itu, United Kingdom (UK) telah menyatakan kesediaannya untuk membantu Malaysia mendapatkan semula asetnya, kata Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell. Treadell, yang menemui Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Daim Zainuddin hari ini, berkata UK akan membantu kerajaan Malaysia membina semula kewangannya. “Jika ada wang ditemui dalam proses yang sewajarnya dan ia milik Malaysia, UK akan membantu proses penghantaran semulanya, tetapi terdapat proses dan undang-undang yang perlu dipatuhi,” katanya ketika ditemui di luar Menara Ilham. Ditanya mengenai topik yang dibincangkan dengan Daim, katanya ia merupakan perbincangan yang luas termasuk bagaimana UK dapat membantu dengan agenda pembaharuan kerajaan baharu.

 

Dalam perkembangan lain, Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) yang diterajui oleh K.C. Vohrah berkata jawatankuasa itu hampir selesai mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang berkaitan dan akan menulis laporan tidak lama lagi. Menyatakan akan terdapat dua lagi mesyuarat selepas Hari Raya, beliau menegaskan jawatankuasa itu akan menumpukan kepada pembersihan pelbagai institusi kerajaan, terutamanya Jabatan Peguam Negara, Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Polis Diraja Malaysia. “Perlu perubahan. Kami menerima banyak input dan kami sedang menelitinya, dan bagaimana maklum balas itu dapat disesuaikan dengan pembaharuan yang diperlukan,” kata Vohrah.

Turut hadir pada mesyuarat itu adalah empat anggota IRC yang lain, Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brig Jen (B) Mohamed Arshad Raji, Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Ambiga Sreenevasan dan pensyarah undang-undang di Universiti Malaya, Prof Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi.