PLUS membuat persiapan sempena Hari Raya Aidifitri

(14-06-2018)

Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama mulai perlahan berikutan orang ramai pulang ke kampung halaman masing-masing menjelang Aidilfitri yang akan disambut esok. PLUS menjangka pertambahan kenderaan di semua lebuh raya kendaliannya bermula tengah hari hingga lewat malam ini. Sempena musim Hari Raya Aidilfitri tahun ini, PLUS Berhad (PLUS) selaku pengusaha lebuh raya terbesar di Malaysia akan melaksanakan tujuh langkah tambahan bagi menangani peningkatan jumlah kenderaan di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Antaranya ialah PLUS akan menempatkan tandas mudah alih serta tangki-tangki air tambahan di kawasan Rehat & Rawat dan hentian sebelah lebuh raya untuk kemudahan pengguna jalan raya. Di samping itu, seramai 5000 orang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), anggota bomba dan kakitangan ambulans juga akan bersedia untuk membantu Polis Di Raja Malayasia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam menguruskan kesesakan jalan raya yang dijangka akan berlaku pada musim perayaan ini. Selain daripada itu, kakitangan ibu pejabat PLUS juga akan membuat persiapan untuk bertugas di plaza tol, kawasan Rehat & Rawat, serta hentian sebelah untuk menguruskan sebarang aduan pengguna. Selain daripada tambahan 70 buah mesin kiosk layan diri tambah nilai Touch ‘n’ Go di lokasi terpilih yang sudah diumumkan sebelum ini, PLUS juga akan membuka lorong-lorong tambahan bagi mengurangkan kesesakan trafik.

Malah, pengguna akan turut menikmati kemudahan pembaca kad Touch ‘n’ Go mudah alih tambahan yang akan melancarkan aliran trafik di plaza-plaza tol. Kren dan trak tunda tambahan turut ditempatkan di lokasi-lokasi strategik bagi menguruskan sebarang kejadian tidak diingini yang berpotensi mengganggu aliran trafik dan keselesaan pelanggan lebuh raya PLUS. Semua langkah ini dilaksanakan bagi membantu 2.2 juta kenderaan yang berada di lebuh raya PLUS menjelang dua hari sebelum Hari Raya Aidil Fitri iaitu pada 13 dan 14 Jun, seperti diumumkan Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail sebelum ini. Sebelum ini, PLUS telah mengumumkan bahawa pengguna rangkaian Lebuh raya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bakal menikmati diskaun bayaran tol sebanyak 50 peratus apabila membayar tol pada 13 Jun dan 14 Jun ini sepertimana yang diumumkan oleh Kerajaan Malaysia pada 30 Mei. Pemberian diskaun tol tersebut berkuatkuasa pada jam 12.01 pagi pada 13 Jun (Rabu) hingga 11:59 malam pada 14 Jun (Khamis).

Diskaun ini ditawarkan kepada semua kelas kenderaan. Ia diberikan kepada pengguna secara langsung ketika membayar atau melakukan transaksi bayaran tol dalam tempoh tersebut. Kebanjiran kenderaan ini diunjurkan berlaku susulan pemberian diskaun bayaran tol tersebut. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di talian 1800-88-7752 atau merujuk laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik dan www.twitter.com/llminfotrafik. – 14 Jun, 2018.