Kebajikan pesara tentera dan polis lebih terbela jika HARAPAN bentuk kerajaan

(05-4-2018)

Kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bakal memberi makna yang besar kepada seluruh anggota keselamatan tentera dan polis. Selain meningkatkan peruntukan dan memastikan keberkesanan serta kemajuan teknologi pasukan keselamatan itu, Kerajaan HARAPAN tidak akan melupakan jasa bakti bekas anggota yang telah bersara dari perkhidmatan.

Segala jaminan itu telah dimasukkan dalam Janji 20, Manifesto HARAPAN (Buku HARAPAN) untuk Menjadikan Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan Polis DiRaja Malaysia sebagai sebuah pasukan yang dihormati dan disegani. “Untuk menjaga kebajikan pesara tentera dan polis, kadar pencen yang sedia ada akan dikaji semula dan diselaraskan dengan kos sara hidup semasa. Bagi pesara polis, kadar pencen sebelum tahun 1970 dan selepas tahun 1970 akan diselaraskan.” “Kerajaan Pakatan Harapan juga akan membiayai persatuan bekas pegawai polis dan persatuan bekas tentera. Peruntukan awal akan diberikan sekurang-kurangnya sebanyak RM500,000 setahun untuk setiap persatuan.”

Selain itu, Kerajaan HARAPAN juga akan memastikan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis atau Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC) akan ditubuhkan dalam penggal pertama pentadbiran. Kerajaan HARAPAN berjanji akan menyiasat semua bentuk tuduhan salah laku secara adil dan menyeluruh, termasuklah tuduhan kematian dalam tahanan. Selain itu, peranan dan fungsi Cawangan Khas Polis (Special Branch) akan diperhalusi dan  dipermodenkan, agar unit ini memberi tumpuan kepada keselamatan dalam negeri, anti-terorisme dan jenayah terancang.

“Pemantauan yang bermotif politik kepartian akan dihentikan.” “Cawangan Khas juga akan diberi tanggungjawab untuk merangka dengan segera strategi holistik untuk mengawal dan memerangi terorisme dan ekstremisme agama,” menurut Buku HARAPAN. – Roketkini.com