Gabenor Bank Negara mahu letak jawatan, kata laporan

(5-6-2018)

GABENOR Bank Negara Muhammad Ibrahim luah hasrat letak jawatan selepas dua tahun memegang jawatan itu, lapor Bloomberg yang memetik sumber tidak dinamakan.Semalam, The Malaysian Insight melaporkan kedudukan gabenor bank pusat itu mungkin dalam keadaan genting susulan kenyataan dikeluarkan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin.Daim antara orang kepercayaan Dr Mahathir Mohamad mengecam keputusan bank pusat itu membayar RM2 bilion untuk pembelian tanah dalam urus niaga yang dibuat terburu-buru bagi membantu pentadbiran Najib Razak melunaskan hutang dibuat 1MDB.

“Ada alasan untuk mempersoalkan bagaimana cepat, rapi dan apa sebabnya urus niaga itu dibuat,” katanya dalam wawancara dengan akhbar Straits Times.”Pembelian tanah itu contoh yang baik kenapa kebebasan BNM, proses urus tadbir dan pelantikan ketua institusi yang kritikal sangat mustahak bagi pentadbiran sekarang.”Bloomberg melaporkan jurucakap Bank Negara dan pegawai Kementerian Kewangan enggan mengesahkan hasrat Muhammad untuk letak jawatan, dan gabenor berusia 68 tahun itu juga tidak memberi jawapan balas kepada pertanyaan mereka.Bulan lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan yang 1MDB tidak mampu membayar hutangnya dan kementerian perlu membayar RM7 bilion hutang dan faedah bagi pihak syarikat itu tahun lepas.Wang yang didakwa 1MDB hasil pelan rasionalisasinya kemudian terbukti hasil jual beli tanah dengan Bank Negara.Pada 4 Januari lalu, bank pusat itu mengatakan urus niaga itu berlaku selepas perbincangan beberapa bulan.Muhammad juga mendakwa pembelian itu adalah pada harga yang berbaloi dan dibuat secara telus dan tulus selepas perbincangan.

Muhammad mula berkhidmat di bank pusat itu pada 1984, lulusan sarjana Harvard University itu kemudian dilantik sebagai gabenor untuk lima tahun pada Mei 2016 selepas Zeti Akhtar Aziz berundur. Zeti berkhidmat selama 16 tahun, dilantik pada 2000 oleh Dr Mahathir. – 5 Jun, 2018.