Airasia, Tony Fernandes akan beri kerjasama siasatan di India

(5-6-2018)

AIRASIA Group Bhd hari ini berkata syarikat itu dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Tony Fernandes akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa India dalam siasatan yang dijalankan oleh mereka.Bagaimanapun, setakat hari ini baik kumpulan itu mahu pun Fernandes menerusi kapasiti peribadinya, tidak ada menerima sebarang notis untuk tampil di Biro Penyiasatan Pusat India (CBI).

“Jika dan apabila menerima notis itu menerusi saluran rasmi sebagaimana mengikut kedaulatan undang-undang Malaysia, kita akan mematuhinya mengikut proses dan ketetapan undang-undang,” kata AirAsia dalam satu kenyataan hari ini.Menurut laporan media, Fernandes telah diarah untuk hadir di CBI pada 6 Jun ini bagi tujuan soal siasat. Laporan itu yang memetik sumber mendakwa ini berkaitan dengan kelulusan diberikan oleh Lembaga Penggalakan Pelaburan Asing kepada syarikat yang melabur dalam AirAsia India. Baru-baru ini, CBI menamakan Fernandes, syarikat penerbangan itu dan beberapa yang lain dalam aduan membabitkan dakwaan mereka melobi pegawai India untuk mendapatkan lesen penerbangan. – Bernama, 5 Jun, 2018.

Utusan, sudah-sudahlah main api perkauman, kata 2 bekas ketua pengarang

(5-6-2018)

DUA bekas ketua pengarang Utusan Malaysia hari ini menyatakan rasa kesal bahawa akhbar yang pernah mereka pimpin masih terperangkap dalam “kepompong sempit dan penuh dengan prasangka”.Dalam satu kenyataan keras hari ini Zainuddin Maidin dan Johan Jaaffar berkata akhbar itu menampakkan pendirian rasis dengan memainkan sentimen perkauman yang berbahaya untuk sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia.Memetik isu terkini mengenai pelantikan peguam negara yang baru, mereka mengatakan adalah tidak dapat diterima apabila Utusan Malaysia bermain api dengan cuba menyemarakkan sentimen kebencian dan keresahan orang Melayu dan orang Islam terhadap pelantikan seorang bukan Melayu dan bukan Islam ke jawatan itu.Cara Utusan Malaysia, menurut mereka, memberikan gambaran seolah-olah agama Islam dan kepentingan Melayu akan terjejas dengan pelantikan Peguam Negara Tommy Thomas.

Zainuddin dan Johan menegaskan bahawa prinsip pelantikan sepatutnya adalah “integriti di atas segala-galanya- tanpa mengira kaum dan agama”. “Kami bersyukur satu lagi kemungkinan krisis dapat dielakkan apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara.”Mengulas lanjut pendirian rasis Utusan Malaysia, kedua-dua bekas editor itu berkata ia telah membangkitkan rasa tidak senang rakyat khususnya di kalangan orang Melayu sendiri sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu. Malahan, kata mereka Utusan Malaysia telah dipersalahkan sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada kekalahan teruk Umno dan Barisan Nasional dalam PRU14. Umno mempunyai saham dalam Utusan Malaysia.“Tetapi malangnya sehingga hari ini, pimpinan editorial Utusan Malaysia semacam enggan mengakui mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan yang dipimpin oleh Tun Mahathir Mohamad,” kata mereka dalam kenyataan bersama.Zainuddin yang memegang jawatan ketua pengarang dari 1981 hingga 1992 manakala Johan ketua pengarang dari 1992 hingga 1998 mengakui bahawa Umno dahulu pernah memperlihatkan kadar toleransi yang tinggi dan mengekalkan prinsip perpaduan antara kaum.

Sejak zaman Allahyarham Tunku Abdul Rahman (perdana menteri pertama) sehingga baru-baru ini, mereka berkata, Umno tidak menunjukkan keadaan terdesak untuk memenangi hati dan minda orang Melayu.Mereka berkata perubahan Umno amat ketara apabila sokongan orang Melayu mula terhakis, dan akhbar Utusan Malaysia hari ini mencerminkan keadaan terdesak Umno itu.”Kami ingin mengingatkan pimpinan Utusan Malaysia bahawa dinimisme masyarakat telah berubah dan begitu juga lanskap politik negara, bumi telah bergerak di bawah tapak kaki pemimpin editorial Utusan Malaysia mungkin tanpa mereka sedari,” kata kedua-dua bekas ketua pengarang itu,Zainuddin dan Johan berkata kelihatannya “business as usual” (urusan seperti biasa) bagi Utusan Malaysia.Hinggakan dalam keadaan kewangan syarikat itu yang tenat sekarang, Utusan Malaysia masih enggan berubah untuk menarik pembeli dan meningkatkan pendapatan iklan, kata mereka.“Kami menggesa pimpinan editorial Utusan Malaysia untuk keluar dari kepompong mereka. Kita sekarang berada dalam era baharu. Kita menyaksikan Malaysia baharu. Menafikan kenyataan ini adalah satu kesilapan yang amat besar bagi akhbar itu,” kata mereka.

Zainuddin dan Johan berkata pada waktu media mendapat kebebasan baharu, Utusan Malaysia tidak sepatutnya membenarkan dirinya dipergunakan oleh mana-mana pihak untuk agenda buruk mereka bagi melemahkan kerajaan yang ada. – Bernama, 5 Jun, 2018.

Samy Vellu masuk IJN

(5-6-2018)

BEKAS Presiden MIC S Samy Vellu sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) apabila dimasukkan ke hospital itu selepas muntah tengah hari tadi, menurut Setiausaha Akhbarnya E Sivabalan. Beliau berkata Samy Vellu, 82, akan diletakkan di bawah pengawasan doktor selama beberapa hari sehingga keadaan kesihatanya kembali pulih.

“Tun datang ke pejabatnya di KL Sentral selepas menghadiri majlis keluarga yang diadakan di rumahnya hari ini. Kemudian dia muntah semua makanan yang dimakannya sebelum itu dan saya menghantarnya ke IJN untuk melakukan ujian lanjut. Doktor telah melakukan semua ujian yang sepatutnya. “Saya dapat beri jaminan tiada apa yang perlu dibimbangkan. Keadaan beliau kini baik. Beliau hanya perlu berehat,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini. Beliau mengulas mesej yang tular di media sosial media bahawa Samy Vellu mengalami serangan jantung.Sivabalan berkata keluarga Samy Vellu mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakannya supaya cepat sembuh dan mereka yang menghubungi untuk bertanyakan keadaan kesihatan Duta Khas Malaysia untuk infrastruktur bagi India dan Asia Selatan itu. – Bernama, 5 Jun, 2018.

Selepas 5 jam soal di SPRM, Rosmah dibenar balik

(5-6-2018)

ROSMAH Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak meninggalkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysi (SPRM) selepas hampir lima jam berada di sana untuk soal siasat.Rosmah yang tiba di situ pada jam 11 pagi tadi meninggalkan bangunan itu menaiki konvoi empat kereta tanpa memberikan kenyataan.

Peguamnya, K Kumaraendran berkata SPRM sudah menyiapkan proses mengambil keterangan anak guamnya.“Anak guam kami memberikan kerjasama penuh dan dia dilayan baik oleh pegawai,” katanya.Katanya, soal siasat itu mengambil masa hampir tiga jam dan anak guamnya sedia membantu lagi jika wujud keperluan.Beliau enggan menjawab apabila ditanya sama ada Rosmah akan dipanggil lagi untuk beri keterangan.Selain Kumaraendran, Rosmah juga diwakili oleh Geethan Ram Vincent.Wanita berusia 67 tahun itu dipanggil SPRM untuk membantu siasatan selepas Najib disoal siat minggu lepas dalam siasatan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat dana pelaburan sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).Najib disoal siasat sebanyak dua kali pada 22 dan 24 Mac berkenaan tiga deposit ke dalam akaun peribadinya daripada SRC International antara Disember 2014 dan Februari 2015.

SRC International didapati memindahkan RM50 juta ke dalam anak syarikat bernama Gandingan Mentari yang kemudian memindahkan wang itu ke dalam Ihsan Perdana. Ihsan kemudian memindahkan wang RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib.Najib tidak dilihat menemani Rosmah hari ini. Bagaimanapun, anak perempuannya Nooryana Najwa dan menantu Daniyar Kessibayev hadir. – 5 Jun, 2018.

Gabenor Bank Negara mahu letak jawatan, kata laporan

(5-6-2018)

GABENOR Bank Negara Muhammad Ibrahim luah hasrat letak jawatan selepas dua tahun memegang jawatan itu, lapor Bloomberg yang memetik sumber tidak dinamakan.Semalam, The Malaysian Insight melaporkan kedudukan gabenor bank pusat itu mungkin dalam keadaan genting susulan kenyataan dikeluarkan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin.Daim antara orang kepercayaan Dr Mahathir Mohamad mengecam keputusan bank pusat itu membayar RM2 bilion untuk pembelian tanah dalam urus niaga yang dibuat terburu-buru bagi membantu pentadbiran Najib Razak melunaskan hutang dibuat 1MDB.

“Ada alasan untuk mempersoalkan bagaimana cepat, rapi dan apa sebabnya urus niaga itu dibuat,” katanya dalam wawancara dengan akhbar Straits Times.”Pembelian tanah itu contoh yang baik kenapa kebebasan BNM, proses urus tadbir dan pelantikan ketua institusi yang kritikal sangat mustahak bagi pentadbiran sekarang.”Bloomberg melaporkan jurucakap Bank Negara dan pegawai Kementerian Kewangan enggan mengesahkan hasrat Muhammad untuk letak jawatan, dan gabenor berusia 68 tahun itu juga tidak memberi jawapan balas kepada pertanyaan mereka.Bulan lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan yang 1MDB tidak mampu membayar hutangnya dan kementerian perlu membayar RM7 bilion hutang dan faedah bagi pihak syarikat itu tahun lepas.Wang yang didakwa 1MDB hasil pelan rasionalisasinya kemudian terbukti hasil jual beli tanah dengan Bank Negara.Pada 4 Januari lalu, bank pusat itu mengatakan urus niaga itu berlaku selepas perbincangan beberapa bulan.Muhammad juga mendakwa pembelian itu adalah pada harga yang berbaloi dan dibuat secara telus dan tulus selepas perbincangan.

Muhammad mula berkhidmat di bank pusat itu pada 1984, lulusan sarjana Harvard University itu kemudian dilantik sebagai gabenor untuk lima tahun pada Mei 2016 selepas Zeti Akhtar Aziz berundur. Zeti berkhidmat selama 16 tahun, dilantik pada 2000 oleh Dr Mahathir. – 5 Jun, 2018.