PAS mengecewakan rakyat kerana tidak mengundi bajet 2017

Kenyataan Media Pakatan Harapan
Perak : –

PAS mengecewakan rakyat kerana tidak mengundi bajet 2017

1. Setelah 5 hari bersidang, DUN Perak berakhir semalam dimana bajet negeri untuk 2017 telah diluluskan.

2. Yang rakyat perhatikan adalah semasa proses undi, BN mendapat 31 undi sementara blok pembangkang yang mempunyai 28 orang ADUN hanya mendapat 23 undi sahaja. 5 orang ADUN pembangkang tidak mengundi.

3. Perkara ini boleh berlaku sebabnya ada 3 orang ADUN PAS iaitu ADUN Gunung Semanggol, Titi Serong & Selinsing tidak mengundi, seorang ADUN PAS kawasan Sungai Rapat TIDAK hadir dan seorang ADUN DAP tidak dapat hadir, iaitu ADUN Pasir Pinji kerana beliau ditahan oleh pihak polis apabila menyertai himpunan aman Bersih 5.0.

4. Rakyat boleh membuat penilaian sendiri dimana setelah bertikam lidah selama 5 hari akhirnya parti PAS mengambil keputusan TIDAK mengundi.

Maka persoalannya adalah jelas : Apa gunanya rakyat memilih PAS memandangkan mereka sekali lagi gagal mengundi di Dewan Undangan Negeri?

5. Perkara yang sama berlaku di Parlimen. Setelah berdebat sepanjang 9 hari, PAS juga memilih TIDAK mengundi semasa proses pengundian dikira untuk belanjawan 2017 yang dibentangkan oleh Menteri kewangan Dato Seri Mohd Najib Razak. Malahan presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang GAGAL hadir di dewan rakyat bila proses undi belah bahagian yang begitu penting diadakan.

6. Kegagalan PAS menyertai Bersih 5.0 pada 19hb November, 2016 juga memberi gambaran yang cukup jelas SIAPA yang mereka dokong & sokong walaupun PAS pernah menyertai Bersih 1, 2 & 3.0.

Ahli-ahli PAS boleh melihat & menilai sendiri perubahan sikap & pendirian pemimpin parti itu sekarang.

7. Tingkahlaku parti PAS di kedua-dua DUN & Parlimen memberi mesej yang cukup jelas. Mereka tidak lagi bersama blok pembangkang yang terdiri dari Keadilan, Amanah, DAP dan parti BERSATU. Rakyat tidak boleh lagi bergantung kepada PAS untuk menggantikan BN sebaliknya PAS kini hanya berminat untuk menjadi “penasihat” kepada UMNO.

8. Demi rakyat, Pakatan Harapan akan terus berjuang melawan kemungkaran dan kezaliman BN. Terpulang kepada rakyat menilai parti PAS. Kami percaya hanya Pakatan Harapan bersama Bersatu mampu untuk menggantikan BN dalam misi kita untuk menyelamatkan negara kita dari Kleptocrat yang sedang merosakkan sistem demokrasi tanah air kita yang tercinta.

Tarikh : 22hb November, 2016

YB Dato Seri Mohd Nizar bin Jamaluddin
Ketua Pembangkang DUN Perak

YB Tuan Nga Kor Ming
Pengerusi DAP Perak

YB Senator Dr Mohd Manuty
Pengerusi Keadilan

Yang Berbahagia Tuan Hj Asmuni Alwi
Pengerusi Amanah Perak

Berhenti salahguna kuasa, lepaskan aktivis Bersih 5.0 yang tidak bersalah

KENYATAAN MEDIA

Berhenti salahguna kuasa, lepaskan aktivis Bersih 5.0 yang tidak bersalah

1. Bersih 5 adalah himpunan aman. Ratusan ribu rakyat Malaysia menampilkan diri ke depan secara aman damai membuktikan rakyat Malaysia enggan membisu lagi. Sambutan cukup hangat dari masyarakat pelbagai kaum terbukti Bersih adalah kempen seluruh rakyat Malaysia.

2. Samseng Baju merah tajaan UMNO bukan budaya kita, mereka harus ditahan supaya tidak menabur racun perkauman terus merosakkan masyarakat kita.

3. Kejayaan luar biasa Bersih 5.0 menghantar mesej yang cukup jelas dimana rakyat mahu satu kerajaan yang bersih & sistem pilihanraya yang telus & adil. Pengerusi SPR Dato Seri Mohd Hashim yang pernah menjadi setiausaha sulit kanan ketua penerangan UMNO dan pemimpin yang rasuah besar termasuk MO1 perlu letak jawatan segera dan reformasi terhadap institusi negara perlu dilakukan segera termasuk merombak semula SPR.

3. Kerajaan perlu menghormati suara rakyat. Beban hidup rakyat yang semakin menekan serta cukai GST perlu dikaji semula.

4. Memandangkan perhimpunan bersih 5.0 berjaya dianjurkan secara aman & tenteram, sudah tentu segala tindakan penangkapan termasuk memakai undang2 SOSMA menahan pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan 18 orang aktivis termasuk ADUN Pasir Pinji Howard Lee adalah tidak berasas dan merupakan satu penyalahgunaan kuasa. Saya menyeru pihak polis menghormati hak perlembagaan rakyat dan melepaskan semua 18 orang ini dengan segera.

Hidup rakyat.

YB Nga Kor Ming

Pengerusi DAP Perak/Ahli Parlimen Taiping

Tarikh : 20hb November, 2016.

RM13.8 billion diperuntukkan dibawah RMK-10 tetapi Banjir masih berlaku Pakatan mahu Ketua audit Negara campus tangan

KENYATAAN MEDIA

RM13.8 billion diperuntukkan dibawah RMK-10 tetapi Banjir masih berlaku
Pakatan mahu Ketua audit Negara campus tangan

1. Kawasan Taiping termasuk Kg Aulong Lama, Kg Boyan, Taman Kami A, B & C serta kawasan SK St George telah dilanda banjir teruk petang semalam akibat hujan lebat 3 jam sahaja. Wakil rakyat DAP telah melawat kawasan banjir dan mendengar rintihan rakyat serta menghulurkan bantuan.

2. Lebih 1,000 buah rumah telah ditenggelami air akibat sistem perparitan & saliran yang kurang memuaskan.

3. Setelah semakan dibuat, perlu diperhatikan bahawa Parlimen telah meluluskan satu jumlah peruntukan yang cukup besar untuk Jabatan Pengairan & Saliran seluruh negara sehingga jumlahnya mencapai RM13.8 billion dibawah rancangan Malaysia yang ke-10.

4. Jumlah peruntukan yang besar ini termasuk RM2.25 billion untuk projek mengorek kuala2 Sungai, RM827.9 juta untuk projek rancangan tebatan banjir dan saliran Bandar( RTB) dan RM987.2 juta untuk rancangan pengurusan Sungai saliran mesra alam.

Akan tetapi, walaupun berbillion duit rakyat telah dibelanja, masalah  banjir masih berulang setiap tahun sehingga mengakibatkan kerugian besar kepada rakyat jelata yang kecewa khususnya sehingga kini masih ada lagi mangsa banjir besar di Kelantan yang masih menduduki dalam khemah setelah rumah kediaman mereka dimusnahkan pada tahun 2014.

5. Demi memastikan wang rakyat dibelanja secara berkesan, pakatan harapan Perak hari ini meminta Ketua Audit Negara Tan Seri Amrin Buang mengambil tindakan segera untuk mengaudit Jabatan Pengairan & Saliran supaya setiap hasil titik peluh rakyat dapat diguna secara efektif. Selain itu, audit menyeluruh juga akan membantu ketirisan, pembaziran serta penyelewengan dalam Jabatan berkenaan dapat dikurang ke tahap minima.

6. Secara kesimpulan, kerajaan melalui RMK-1 sehingga RMK-10 telah membelanjakan puluhan billion utk rancangan mencegah banjir tetapi masalah ini masih berulang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Oleh demikian, satu pelan pencegahan banjir negara perlu diwujudkan supaya rakyat dapat hidup tanpa rasa ketakutan khususnya mereka yang menduduki di persisiran sungai & pantai.

YB Nga Kor Ming

Pengerusi DAP Perak
Ahli Parlimen Taiping

Tarikh : 15/11/16

PAS harus menyertai Bersih 5.0 sekiranya ikhlas ingin bekerjasama dengan pakatan pembangkang

KENYATAAN MEDIA :

PAS harus menyertai Bersih 5.0 sekiranya ikhlas ingin bekerjasama dengan pakatan pembangkang

1. Bersih 5.0 akan diadakan pada 19/11/16 di Dataran Merdeka.  Ini adalah perhimpunan aman dengan 5 tuntutan bertujuan untuk menyelamatkan negara kita dari Kleptokrasi BN yang kian memerah hidup rakyat serta memusnahkan sistem demokrasi berparlimen negara.

2. Semua parti pembangkang termasuk KEADILAN, DAP, AMANAH mahupun BERSATU telah bersetuju sebulat suara untuk menyertai perhimpunan aman ini sebagai usaha menyatakan pendirian menuntut pilihanraya yang adil, bebas dan bersih serta melawan rasuah. Parti2 komponen Barisan Nasional turut dipelawa untuk menyertai himpunan aman ini tetapi pelawaan tersebut telah ditolak oleh mereka.

3. Jika PAS ikhlas ingin bersama dengan pembangkang dan bukan untuk menyelamatkan UMNO-BN, maka sebagai langkah permulaan adalah wajar semua pimpinan PAS termasuk presidennya Dato Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sokongan kepada Bersih 5.0 serta menyertai himpunan aman ini tanpa sebarang syarat.

4. Sebarang alasan untuk PAS tidak menyertai Bersih 5.0 boleh dianggap PAS ingin bersekongkol dengan UMNO dan melalui tindakan tersebut rakyat akan ketahui agenda sebenar parti tersebut.

5. Perlu ditegaskan sejak perhimpunan Bersih bermula pada tahun 2007, ia adalah perhimpunan aman yang dianjurkan oleh lebih 200 NGOs rakyat Malaysia yang cinta kepada negara. 5 tuntutan Bersih termasuk pilihanraya bebas & adil, kerajaan Bersih, hak membantah, mempertahankan sistem demokrasi berparlimen serta memperkasakan Sabah & Sarawak kesemunya menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan. Oleh  itu semua rakyat wajib menyatakan sokongan supaya sistem demokrasi negara kita tidak dimusnahkan oleh pihak Kleptokrasi yang kian ghairah merompak kekayaan negara kita tanpa segan silu.

6. Sekiranya PAS membuat keputusan tidak menyokong Bersih, kegagalan PAS untuk bersama Bersih akan memperlihatkan parti tersebut sudah menjauhkan diri dari matlamat deklarasi rakyat dan pakatan pembangkang harus terus mara ke depan tanpa PAS.

Nga Kor Ming

Timbalan Bendahari Agong DAP
Ahli Parlimen Taiping

Tarikh : 3/11/2016

Bajet 2017 ikat perut rakyat tetapi kerajaan tetap boros

Kenyataan media

Bajet 2017 ikat perut rakyat tetapi kerajaan tetap boros

( Ipoh 26/10/16)

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming menyifatkan bajet 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Najib bin Tun Razak adalah bajet ikat perut rakyat tetapi pemimpin kerajaan BN tetap boros dan tidak pedulikan kepahitan hidup rakyat & kemerosotan ekonomi yang sedang melanda negara ini.

Berikut adalah intipati & isu utama yang perlu diberikan perhatian serius oleh seluruh rakyat :

1. Bajet 2017 adalah bajet defisit sepanjang 20 tahun berturut-turut sejak 1998, ia adalah satu rekod baru yang membimbangkan.

2. Jumlah defisit tahun 2017 adalah  sebanyak RM40.3 bilion jika dibandingkan dengan defisit tahun ini sebanyak RM38.9 bilion, satu peningkatan yang membimbangkan. Sekiranya ditambah dengan bajet tambahan yang kini berlaku setiap tahun dibawah pentadbiran Najib, jumlah defisit tahun depan dijangka akan melebihi paras RM50 bilion.

3. Dari jumlah RM260.8 bilion yang diperuntukan, bajet 2017 menyaksikan belanjawan mengurus adalah setinggi RM214.8 bilion atau 81.7% sebaliknya belanjawan membangun hanya 18.3% atau RM46 bilion sahaja. Jumlah ini merupakan satu pengurangan sebanyak RM6 bilion. Pengurangan adalah satu perkembangan buruk kerana ia mencerminkan pengurusan fiskal kewangan yang telah sesat hala tuju memandangkan negara kita adalah negara yang sedang membangun dan status negara maju masih tidak kesampaian.

4. Hutang negara akan mencecah paras baru sehingga RM870 bilion termasuk contingent liabiliti. Jumlah ini dapat dilihat dari kos membayar hutang negara yang semakin meningkat, ia naik dari RM26.4 bilion tahun ini hingga RM28.8 bilion pada tahun 2017.

Dengan kata lain, negara kita terpaksa membayar RM2.4 bilion kos & faedah setiap bulan dan setiap rakyat terpaksa menanggung hutang lebih dari RM26,000.00 setiap orang. Yang lebih mengkhuatirkan adalah Malaysia kini telah mengalami kenaikan hutang setiap tahun yang tidak pernah surut tetapi kerajaan tiada rancangan atau tidak mampu mengurangkan hutang yang semakin menggunung.

5. Jumlah hutang ini masih tidak dikira masuk RM50.4 bilion yang ditanggung oleh 29 buah syarikat GLC dan hutang 1 MDB sebanyak RM30bilion. Dengan kata lain, rakyat kini berhadapan dengan risiko yang tinggi kerana beban hutang yang semakin berat.

6. Rakyat terpaksa ikat perut kerana subsidi barang keperluan asas seperti minyak, diesel, gula, gandum, beras mahupun minyak masak kini telah atau akan dihapuskan. Penghapusan subsidi2 menunjukkan kekangan kewangan kerajaan dan ini bakal menyaksikan kenaikan harga.

7. Bajet 2017 juga memotong peruntukan 19 kementerian dari jumlah 25 kementerian. Yang kena potong termasuk SPRM yang menyaksikan pemotongan RM78 juta dalam tahun ini & tahun depan. Peruntukan SPRM jatuh dari RM295 juta ke RM216 juta. Pemotongan 1/3 bajet utk SPRM membuktikan janji BN utk banteras rasuah adakah janji kosong.

8. Selain SPRM, jabatan ketua audit negara juga menyaksikan satu pemotongan bajet yang drastik. Jumlah peruntukan utk Jabatan Audit negara akan jatuh dari RM163 juta hingga RM135 juta, pemotongan RM27.92 juta ini akan menjejaskan usaha jabatan audit negara untuk mencegah ketirisan, pembaziran mahupun penyelewengan, akhirnya yang rugi adalah rakyat jelata.

9. Walaupun ekonomi kian lembap, Kerajaan masih cadang utk kutip RM40 bilion cukai GST pada tahun depan, ini bererti setiap warga negara akan menanggung RM1333 setiap orang, jika satu keluarga mempunyai 5 orang, jumlah GST yang dibayar adalah dianggarkan sebanyak RM6500.00, satu jumlah yang jauh lebih tinggi dari BR1M.

10. Selain subsidi, Bajet ini menyaksikan banyak nikmat kepada rakyat sebanyak RM259 juta akan dihapuskan. Ini termasuk biasiswa Bursary sebanyak RM30 juta, program susu percuma 1 Malaysia, dana penyelenggaraan bangunan kerajaan, biasiswa sukan, dana biayaian aktiviti ko-kurikulum dan lain2. Satu jumlah sebanyak RM593 juta utk membiayai pampasan kepada lebuhraya swasta juga dimansuhkan maka adalah dijangka kadar TOL akan naik pada tahun depan, rakyat terpaksa ikat perut tetapi pemimpin kerajaan tetap boros.

11. Selain itu, semua IPTA kecuali UITM & UIA akan mengalami pemotongan bajet yang ketara. Jumlah peruntukan akan berkurangan sebanyak RM1.4 bilion dari RM7.6 bilion jatuh kepada RM6.2 bilion. Pemotongan bajet ini adalah bercanggah dengan wawasan negara untuk menjadi pusat pengajian tinggi rantau Asean dan ini menunjukkan kerajaan BN telah hilang hala tuju.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, bajet 2017 gagal mencegah rasuah, ketirisan, penyelewengan & pembaziran yang menjadi faktor utama kemerosotan negara dari status demokrasi kepada Kleptocrasi. Bajet kali ini juga tidak kelihatan usaha kerajaan memacu Pembangunan sains, teknologi dan memupuk budaya innovasi. Malahan wawasan 2020 telah dicampak dan digantikan dengan TN50 yang semata-mata merupakan helah politik BN utk mengkaburkan mata rakyat.

Di atas adalah ucapan Ahli Parlimen Taiping, YB Nga Kor Ming sempena forum ekonomi mengupas bajet 2017 yang diadakan di hotel Ibis, Ipoh.