Sidang Dewan Rakyat akan bermula 16 Julai

(7-6-2018)

Sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Ke-14 dijadual bermula pada 16 Julai ini.Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sidang Parlimen berkenaan akan berlangsung selama 20 hari.

Dr Mahathir berkata, beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bagi mendapatkan perkenan untuk mengadakan sidang berkenaan.”Pada 16 Julai itu, kita akan melantik Yang di-Pertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara diikuti majlis angkat sumpah pada hari sama,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.Katanya, Yang di-Pertuan Agong juga akan merasmikan sidang Dewan Rakyat serta menyampaikan titah perasmian pada 17 Julai 2018.Dr Mahathir berkata, kerajaan akan membawa usul untuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Akta Anti-Berita Tidak Benar serta pindaan terhadap akta-akta lain untuk dibentangkan pada sidang Parlimen itu.

“Ada beberapa pindaan kepada undang-undang yang lain yang akan kita umumkan pada sidang berkenaan,” katanya.

Jangan disekat penganjuran program ilmiah di universiti awam

(7-6-2018)

Tiada lagi sekatan bagi penganjuran program ilmiah, debat, forum dan wacana di universiti awam (UA) berkuat kuasa serta-merta sekali gus menjadikan institusi berkenaan medan intelektual.Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya menggesa Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar supaya tidak melakukan sebarang sekatan ke atas program berkenaan.

“Universiti adalah medan intelektual terbuka dan dalam era Malaysia baharu, tidak mahu ada lagi sekatan kepada mana-mana program ilmiah ini.”Selepas ini, banyak program di universiti tanpa sekatan. Sebelum ini (kerajaan dahulu), ada sekatan program di IPTA, termasuk dibatalkan pada saat akhir,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 11 (1) di sini, hari ini.Beliau berkata, bagi menjadikan UA medan terbuka, palang di pintu masuk utama institusi juga adalah tidak dibenarkan.”Semua palang di UA perlu diangkat kerana kita mahu menghentikan suasana itu di Malaysia sama seperti University of Oxford dan University of Cambridge,” katanya.Berhubung isu beg sekolah berat, Maszlee berkata, beliau menyerahkan kuasa kepada guru untuk melaksanakan inisiatif sendiri bagi meringankan beg sekolah murid masing-masing.

Katanya, Kementerian Pendidikan akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mencari mekanisme dalam mengurangkan beban beg sekolah berkenaan.Terdahulu dalam ucapannya, Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan berhasrat memperkasakan sekolah tahfiz dan madrasah di negara ini dengan ilmu keusahawanan sekali gus pelajar tidak tertumpu kepada bidang agama semata-mata.Menurutnya, langkah berkenaan penting sebagai nilai tambah kepada pelajar terbabit selain memupuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan mereka.”Tidak dinafikan selepas mereka tamat belajar kelak, mereka akan menjadi imam dan sebagainya namun, mereka juga perlu diberikan nilai tambah untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.”Sekarang peluang terbaik untuk kita seimbangkan pelajar tahfiz ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga mempunyai projek baharu membabitkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) khusus untuk pelajar tahfiz di Kolej Komuniti di seluruh negara.

Anwar tidak akan ambil alih kerusi Parlimen Pandan

(7-6-2018)

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal spekulasi bahawa beliau akan mengambil alih kerusi Parlimen Pandan yang disandang isterinya, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), berkata buat ketika ini, adalah tidak praktikal untuk beliau berbuat demikian memandangkan Dr Wan Azizah yang baru memegang jawatan kedua tertinggi dalam pentadbiran kerajaan itu perlu berundur diri lebih awal jika bagi memberi laluan kepadanya.

Katanya, selepas dibebaskan dari penjara baru-baru ini, beliau lebih selesa untuk menjadi sebagai ‘backbencher’ (penyokong kerajaan). “Bebas. Saya nak pergi round dulu, saya ada komitmen, mengajar dan kuliah, banyak di beberapa universiti, dalam dan luar negara. “Malah, saya pun belum ada pengalaman menjadi ahli Parlimen biasa. Sebelum ini, saya pernah memegang beberapa jawatan menteri dan pemimpin pembangkang, jadi sekarang saya mahu jadi ‘backbencher’,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada wakil rakyat PKR di sini, hari ini. Pada majlis itu, seramai 48 daripada 50 ahli Parlimen PKR dan 51 daripada 67 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR hadir. Ini adalah pertemuan rasmi pertama Anwar bersama semua wakil rakyat selepas pembebasan beliau dan mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Banyak spekulasi terutama di sosial media yang mendakwa bahawa Dr Wan Azizah akan mengundurkan diri sebagai Ahli Parlimen Pandan bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil diadakan bagi memberi ruang kepada Anwar untuk bertanding. Mengulas lanjut, Anwar turut mengesahkan tidak akan bertanding sebagai ahli Parlimen sepanjang tempoh sebelum bermulanya sesi mesyuarat pertama Dewan Rakyat 16 Julai depan. “Saya ada program ke London dan Turki dan selepas itu saya akan balik, mengeliling ke negeri yang belum saya kunjungi.

“Selepas selesai program di negara Arab dan Amerika Syarikat (AS), selepas itu kita akan bincang semula yang akan mengambil masa lebih dua bulan, keputusan untuk bertanding di kerusi mana,” katanya. – BERNAMA

Muhyiddin ambil tanggungjawab Jamal

(5-6-2018)

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau bertanggungjawab atas dakwaan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos yang kini dikehendaki polis telah terlepas melarikan diri ke Indonesia.

“Semua jabatan (keselamatan) berada di bawah saya, lebih-lebih lagi kerana itu, saya fikir saya bertanggungjawab (Jamal lolos),” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya pagi ini.Jamal melarikan diri sejak minggu lepas selepas polis mengeluarkan waran tangkap untuknya. Beliau juga disenaraihitamkan Jabatan Imigresen.Apabila ditanya bagaimana Jamal meninggalkan negara ini walaupun selepas disenarai-hitamkan, Muhyiddin berkata beliau juga tidak sedar hal berkenaan.”Saya tidak tahu, kita akan melihat semua perkara itu. Saya juga hairan seperti kamu.”Mungkin ada isu kecuaian atau pengurusan yang tidak cekap dalam hal ini yang saya tidak puas hati,” jawabnya sambil memaklumkan beliau telah mengarahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk memburu Jamal.

Muhyiddin mengadakan sidang akhbar tersebut selepas hadir taklimat di Jabatan Imigresen yang diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali.Bagaimanapun, Mustafar menafikankan Jamal telah meninggalkan negara ini melalui saluran sah sempadan negara.”Kami tidak tahu.”Kalau dia lalu pintu masuk yang sah, kita memang boleh kesan,” kata beliau kepada pemberita.

Azmin menghadap Sultan Selangor pagi ini

(5-6-2018)

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiba di Istana Bukit Kayangan di sini pagi ini bagi menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.Mohamed Azmin tiba dengan menaiki kenderaan rasmi pada jam 10.50 pagi.

Pertemuan itu difahamkan bagi membincangkan calon pengganti bagi menjawat jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu.Istiadat angkat sumpah jawatan untuk Menteri Besar dijadualkan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang pada 19 Jun.Pada 11 Mei lalu, Mohamed Azmin, 54, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).