Bekas diplomat sertai DAP perkukuh kedudukan parti.

KUALA LUMPUR, 10 NOV

DAP hari ini mengumumkan secara rasmi penyertaan bekas diplomat Malaysia di beberapa buah negara, Datuk Yeop Adlan Che Rose sebagai ahli parti.

Pengumuman dibuat Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook dalam sidang media di Ibu Pejabat Kebangsaan sebentar tadi.

“DAP mengalu-alukan kemasukan beliau ke dalam parti dan kita percaya bahawa beliau akan membantu memantapkan lagi DAP.

“Beliau merupakan seorang individu yang telah banyak berkhidmat kepada negara” katanya.

Menurutnya, penyertaan Yeop Adlan bersama DAP merupakan salah satu bukti bahawa DAP terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Hari ini saya berbangga bahawa beliau bersama kita dan Ketua Parlimen DAP akan menyerahkan kad keahlian DAP kepada beliau secara rasmi,” katanya.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengganggap penyertaan Yeop Adlan sebagai kepulangan memandangkan allahyarham bapanya Che Rose Hj Abdullah pernah menjadi anggota parti dan calon pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Pongsu, Perak pada 18 Disember 1974.

“Pilihan raya kecil 43 tahun lalu di Alor Pongsu merupakan testimoni bahawa sejak awal penubuhan DAP 52 tahun lalu, DAP tidak pernah menganggap dirinya sebagai ‘parti Cina’ atau ‘parti Melayu’ dan bukan sama sekali parti yang anti-Melayu atau pun anti-Islam tetapi adalah parti untuk seluruh lapisan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara kita.

“Salah satu nilai bersama yang dikongsikan pemimpin awal DAP seperti Dr. Chen Man Hin, Karpal Singh, Ibrahim Singgeh, Peter Dason, Loke Swee Chin, Patto, Kerk Kim Hock, Lau Dak Kee and Che Rose dan ramai lagi ialah komitmen dan dedikasi kami untuk menjadikan Malaysia lebih baik,” kata beliau.

Yeop Adlan berharap agar penyertaannya dapat membantu DAP memperkukuhkan perjuangan parti dalam masyarakat majmuk negara ini.

“Ini merupakan saat kebanggan bagi saya. Usaha ini sebagai menyambung perjuangan negara kearah yang lebih baik.

“Keadaan politik susah. Menghadapi masa depan yang tak tentu. Saya berharap, sedikit sebanyak dengan pengalaman saya boleh digunakan untuk perjuangan parti,” kata beliau.

Datuk Yeop Adlan Che Rose merupakan bekas duta besar Malaysia ke beberapa buah negara dan mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak tahun 1967 di Kementerian Luar Negeri.

Pada tahun 1982, beliau dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura. Pada 1988 beliau dilanti sebagai duta besar Malaysia ke Sepanyol manakala pada tahun 1992 beliau dilantik sebagai duta besar ke Mexico.

Beliau pernah menjadi Setiausaha Pengarah CHOGM (Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel) Kuala Lumpur pada tahun 1988; Datuk Pengelola Bijaya DiRaja Istana Negara pada 1989 dan Setiausaha II (Politik) Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) New York.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Dr Abdul Aziz Bari.

Kes kematian dalam tahanan akibat kecederaan perlu diberi pampasan – Gobind Deo

KUALA LUMPUR, 7 NOV

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo hari ini menggesa Parlimen mencadangkan usul bagi meminda Akta Sivil 1956 supaya tuntutan ganti rugi teladan dalam kes melibatkan kematian akibat kecederaan seperti kematian dalam tahanan dimasukkan dalam akta tersebut.

“Saya menyeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman menasihati kerajaan supaya pindaan ke atas peruntukan dalam akta ini dilakukan dalam sidang Parlimen akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Biro Undang-undang DAP itu berkata, sekiranya kerajaan masih enggan, beliau selaku Ahli Parlimen akan mengemukakan usul pindaan Rang Undang-undang Persendirian pada sesi Parlimen akan datang.

Gobind berkata demikian merujuk kepada laporan ketetapan Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan bahwa tiada ganti rugi teladan akan diberikan kepada ahli keluarga mangsa yang mati dalam tahanan melibatkan tindak-tanduk polis dalam kes kematian A. Kugan.

“Adalah tidak masuk akal sekiranya pampasan diberikan dalam kes di mana mangsa survive tetapi tidak bagi mangsa yang telah mati akibat kecederaan atau sebarang tindak-tanduk dalam kes tersebut.

“Perlanggaran hak dan undang-undang ini sepatutnya dikenakan tindakan berat dan, ataupun penalty,” katanya lagi.

Kes kematian A. Kugan pernah mencetuskan kontroversi seluruh negara apabila pemuda berusia 22 tahun itu didapati mati dalam tahanan lokap Balai Polis USJ 8 pada 20 Januari 2009.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika itu mengklasifikasikan kes tersebut mengikut sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan untuk mendapatkan pengakuan.

MUHYIDDIN YASSIN BAHAS BAJET 2018 JANJI-JANJI bulan dan bintang oleh “NAJIB RAZAK”

(6-11-2016)

MUHYIDDIN YASSIN BAHAS BAJET 2018 JANJI-JANJI bulan dan bintang oleh “NAJIB RAZAK”

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Kerajaan membelanjakan hanya kurang separuh, atau RM1.04 bilion daripada RM2.57 bilion yang dijanjikan untuk projek rancangan tebatan banjir di Pulau Pinang, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Selepas mengambil kira skop kerja, reka bentuk, keperluan tapak dan sebagainya semasa pelaksanaan projek, jumlah sebenar yang dibelanjakan hanyalah sebanyak RM1.04 bilion dalam RMK-9 hingga RMK-11 sahaja.

“Walaupun kos projek keseluruhan yang telah diluluskan berjumlah RM2.57 bilion, ini tidak bermakna keseluruhan peruntukan tersebut telah dan perlu dibelanjakan untuk kerja-kerja pembangunan,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen bertarikh 30 Oktober.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bertanya mengapa hanya sekitar RM443 juta digunakan untuk projek RTB di Pulau Pinang untuk sepanjang RMK-9 hingga RMK-11.

“Apakah yang terjadi kepada baki RM2,157 juta yang dijanjikan dan bilakah ia akan dikembalikan kepada rakyat Pulau Pinang agar projek tebatan banjir yang dijanjikan boleh dilaksanakan?” soalnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Walaupun kos RM2.57 bilion diluluskan kerajaan, menurut Wan Junaidi, ia tidak bermakna keseluruhan peruntukan perlu dibelanjakan bagi kerja pembangunan.

“Kos RM2.57 bilion ini merujuk kepada siling kos awal yang dijangka perlu dibayar bagi pelaksanaan projek tersebut,” katanya.

SEBERANG PERAI, 6 NOV: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan bagi memulihkan semula keadaan selepas banjir di negeri itu kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengiringi kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melawat ke beberapa pusat penempatan sementara mangsa banjir di sekitar Daerah Seberang Perai Tengah dan Utara.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Zahid kerana sanggup membatalkan tujuh program untuk hadir melawat kawasan-kawasan banjir di negeri ini.

“Demi rakyat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Pusat dalam memulihkan semula keadaan banjir, selepas bencana,” katanya di pusat banjir dekat Sekolah Rendah Bertam Indah di sini tengah hari tadi.

Ahmad Zahid sebelum itu berkata, Jabatan Metreorologi Malaysia meramalkan akan berlaku fenomena hujan lebat seperti baru-baru ini hatta mengakibatkan beberapa tempat mengalami banjir, dalam tempoh sehingga Februari tahun depan di pantai barat Semenanjung Malaysia, termasuk Pulau Pinang.

Beliau menyarankan supaya jabatan itu memberikan isyarat amaran lebih awal dalam tempoh tujuh hari supaya pihak berkuasa dan agensi-agensi terbabit dapat melakukan tindakan segera bagi mengurangkan risiko bencana.

Najib perlu jadi pencelah dalam saman Hadi di mahkamah London.

(6-11-2017)

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak disaran menjadi pencelah dalam saman Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan dakwaan oleh Clare Rewcastle Brown di Mahkamah Tinggi London.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil, perdana menteri seharusnya menggunakan peluang ini untuk membersihkan namanya yang teruk tercalar akibat pendedahan oleh media-media antarabangsa walaupun sehingga kini beliau masih gagal menyaman The Wall Street Journal sungguhpun telah berjanji melakukannya.

“Datuk Seri Najib tidak perlu lagi menunggu hari Selasa yang tidak pernah kunjung tiba. Buktikan keberanian seorang pahlawan Bugis.

“Pembelaan Clare tersebut adalah suatu dokumen mahkamah yang membangkitkan dakwaan-dakwaan secara langsung yang serius terhadap perdana menteri.

“Ia dakwaan yang melibatkan salahlaku jenayah korupsi dan salahguna kuasa termasuk skandal 1MDB, urusniaga kapal selam Scorpene, kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, kes pembunuhan Kevin Morais dan pendakwaan politik kes sodomi Anwar Ibrahim.

“Selain itu, pemberian wang RM90 juta tersebut pula didakwa oleh Clare sebagai sogokan untuk Pas berpecah daripada Pakatan Rakyat.

“Dakwaan ini menimbulkan persoalan umum yang munasabah samada tindakan Pas yang kini enggan bersama pakatan pembangkang disebabkan permainan licik politik Datuk Seri Najib?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Faiz yang juga peguam mengulas mengenai penafian Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berkenaan pemberian RM90 juta kepada Pas sepertimana pendedahan fakta oleh Clare Brown dalam Pembelaan dan Tuntutan Balas terhadap Saman yang dikemukakan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Mahkamah Tinggi London.

Ini susulan suatu artikel yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin kanan Pas seperti disiarkan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 adalah tidak mencukupi untuk menyangkal dakwaan tersebut.

“Oleh kerana dakwaan salahlaku jenayah Datuk Seri Najib didedahkan secara terperinci di dalam Pembelaan tersebut yang telah mencemar nama baik negara selaku Perdana Menteri,beliau seharusnya melantik peguam untuk memohon sebagai Pencelah dalam prosiding Saman oleh Presiden Pas tersebut bagi menjawab segala dakwaan Clare kerana beliau adalah pihak yang terkilan dan mempunyai kepentingan di dalam kes tersebut.

“Penafian kosong di luar mahkamah ini tidak mempunyai apa-apa nilai kerana dakwaan-dakwaan Clare tersebut telah menjadi sebahagian daripada prosiding mahkamah.

“Di samping itu, kredibiliti beliau juga tidak boleh dipercayai kerana beliau pernah berbohong sebelum ini dalam isu RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau.

“Pada awalnya, beliau menafikan ada menerima wang RM2.6 bilion, tetapi mengaku ada menerimanya setelah bukti didedahkan kepada umum, tetapi memberikan alasan wang tersebut adalah derma daripada keluarga DiRaja Arab. Sungguhpun begitu, alasan tersebut tidak disokong dengan bukti yang positif dan kredibel,” terangnya.

Tiada ‘big brother’ dalam PH Perak, kata Pengerusi Negeri.

(30-10-2017)

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Perak  Ahmad Faizal Azumu melahirkan kesyukuran kerana dalam mesyuarat PH semua pimpinan parti gabungan memberikan kerjasama cukup baik dalam membincangkan pemilihan kerusi di negeri itu sejak beliau dilantik menerajui negeri itu.

“Saya adakan mesyuarat PH yang saya pengerusikan sendiri saya bersyukur dengan penghormatan rakan komponen berikan.

“Saya terima baik dan bersyukur dan kesepakatan ini dapat kita teruskan.

“Di negeri Perak mudah sangat tiada polimik, kita dalam PH tiada siapa kontrol siapa tiada ‘big brother’. tiada berselisih faham semua berjalan dengan baik. Saya amat bersyukur,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Ahmad Faizal turut memberitahu pembahagian kerusi di negeri itu hampir di selesaikan walaupun terdapat pertindihan kerusi membabitkan kerusi Umno-BN.

Negeri Perak mempunyai 20 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dun.

“Kita sudah selesaikan 80 peratus pembahagian kerusi ada 20 peratus lagi pertindihan yang masih berunding. Daripada 59 kerusi Dun terdapat 31 kerusi Umno perlu dibahagikan antara PKR,AMANAH dan Bersatu yang mana 10 kerusi masih lagi bertindih.

“DAP mengekalkan kerusi yang pernah dimenangi parti itu sebagaimana diputuskan oleh Majlis Presiden PH mana-mana parti yang memegang kerusi pada PRU13 diteruskan pada PRU14,” ujarnya.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) berkata, hasrat PH Negeri adalah untuk meletakkan calon boleh menang dan memastikan jentera parti sudah bersedia menghadapi PRU14 akan datang.

“Saya perlu mencari calon berkredibiliti daripada semua latar belakang.

“Saya harap dapat mengenengahkan calon yang ada latar belakang akademik, profesional, agamawan dan kecekalan politik amat penting kerana kita akan lawan kerajaan yang ganas dan kleptokrasi.

“Jadi faktor kebolehmenangan ‘winable candidate’ itu penting dan tidak ada calon ‘payung terjun’ (calon luar) di Dun.

“Kalau di peringkat parlimen boleh ada calon luar. Bagi saya ‘politik’ adalah perkhidmatan jadi di Dun kena calon tempatan yang sedia berkhidmat,” ujarnya.

Ahmad Faizal,47, berkata PH di negeri itu akan memastikan setiap calon disaring sebaik mungkin bagi mengelakkan kontroversi membabitkan peribadi, rasuah, muflis yang akan menjejaskan keyakinan pengundi kelak.

Justeru katanya, saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendesak pembangkang menghantar senarai calon ke suruhanjaya itu tidak akan dilakukan sekiranya suruhanjaya itu tidak berhasrat untuk menyaring Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Kita ada banyak proses saringan di setiap kawasan Dun dan Parlimen. Dalam pemilihan calon kita senaraikan minimum 3 senarai calon dan saringkan mereka dalam cara kita sendiri.

“Bahkan bukan sahaja dibuat di peringkat negeri tetapi saringan yang sama akan di bawa ke peringat pusat untuk disaring lagi, untuk mencari calon yang sangat bersih.

“Cadangan SPRM bagus tetapi cadangan PH pula untuk desak SPRM siasat Najib pun bagus juga… jika boleh menyiasat RM2.6 bilion jika nak siasat latar belakang kita (calon PH) saya sokong tetapi benda baik kita suruh SPRM buat, tidak mahu buat pula.Jika begitu elok kita saring sendiri calon masing-masing,” ujarnya.

Ditanya kuota calon yang akan mengisi 59 kerusi Dun dan 20 Parlimen beliau berkata, lebih cenderung untuk memilih calon wanita dan pemuda dari Bersatu dan beliau enggan mengulas mengenai kuota calon bagi PH Negeri.

“Saya suka lebih calon wanita- saya dapat lihat ahli kami  di kalangan Srikandi misalnya, komitmen kerja dan disiplin cukup tinggi. Mereka datang 10 orang kerja macam 100 orang. Dikalangan lelaki semangat kuat, kerja kurang dan cakap banyak.

“Saya suka menonjolkan wanita tetapi di peringkat parti  kita akan menengahkan 20 wanita dan 20 % Armada.

“Tetapi bagi parti gabungan dalam PH saya tak mahu terlalu masuk campur dalam urusan pemilihan calon mereka,” ujarnya yang lebih selesa keputusan dibuat oleh parti masing-masing dan dimuktamadkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan kelak.

Semalam Pakatan Harapan Perak telah mengumumkan barisan kepimpinan jawatankuasa gabungan itu.