Ramai orang bertanya soalan yang sama di media sosial. Kain rentang Barisan Nasional yang bersepah-sepah di merata tempat bukan sahaja membawa slogan yang aneh, bahkan menyertakan maklumat paling tidak patut bagi sebuah parti yang menjaja idea nasionalisme. Kita semua tahu kain rentang mana yang dimaksudkan. Dengan slogan ‘Hidup Rakyat’ yang menjadi slogan demonstran pro-pembangkang setiap kali turun ke jalanraya, kain rentang ini tanpa segan silu mendedahkan siapa gerangan pencetak dan di mana ia dicetak.
Persoalan kenapa syarikat Tex-Ebo International (Shanghai) Co Ltd. mendapat keistimewaan untuk mencetak bahan kempen parti kerajaan Malaysia iaitu Parti Barisan Nasional. Hal ini mungkin boleh dijawab dengan seribu satu alasan, termasuk alasan kos percetakan yang lebih rendah. Namun jika kita mengambil kira faktor penaklukan ekonomi China ke atas tanah air melalui pintu yang dibuka luas oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak, agak sukar untuk kita mengabaikan keresahan yang mula berombak di dada. Tambahan pula baru beberapa hari kita ditampar dengan kenyataan bahawa syarikat pembinaan China Communications Construction Company (CCCC) yang dianugerahkan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion, telah diberikan pengecualian cukai GST oleh kerajaan United Malays National Organisation. Maka ramailah bertanya-tanya, apa istimewanya negara komunis ini di hati Barisan Nasional yang hari demi hari menyerang DAP sebagai ‘parti Cina’ dan/atau ‘parti Komunis’.
Istimewanya syarikat-syarikat China ini dapat kita ukur dengan mengira bilangan projek-projek besar yang telah dianugerahkan kepada mereka oleh kerajaan Malaysia, atau paling tidak dengan menyukat pegagangan pelaburan China dalam projek-projek tersebut. ECRL contohnya, yang bernilai RM55 bilion adalah jauh kecil nilainya jika dibandingkan dengan projek Forest City yang bernilai RM450 bilion. Itu belum ditambah projek Iskandar Malaysia di mana China turut melabur sejumlah RM22.2 bilion. Menganjur ke Utara, kita turut menemukan tangan China dalam projek Melaka Gateway yang mencatat pelaburan berjumlah RM8 bilion. Sedikit ke Timur, kita temukan pula Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng, Kuantan. Maju ke tengah, kita berdepan pula dengan projek Bandar Malaysia, yang dibangunkan secara usaha-sama dengan syarikat China Railway Construction Engineering (CREC). Ini letaknya di Sungai Besi, menggantikan pengkalan tentera udara yang dipindahkah nun jauh ke Sendayan, Negeri Sembilan.
Semakin ke tengah, kita temukan pula projek Tun Razak Exchange. September tahun lalu. syarikat yang sama mengelola projek ECRL mengumumkan akan membina pejabat serantaunya di sini, dinamakan CCCC Tower. Naib Presiden CCCC, Peng Dapeng dilaporkan berkata bahawa tanah di Tun Razak Exchange telah pun dibeli, namun perincian projek tersebut belum muktamad. “Malaysia sangat penting bagi kita. Seperti yang anda boleh lihat, nilai kontrak yang kita miliki di Malaysia adalah yang paling tinggi dalam kalangan negara Asean. Setakat ini, kita mempunyai kontrak bernilai lebih US$16 bilion (RM67.27 bilion). Kita percaya bahawa angka ini akan bertambah besar pada masa akan datang.” katanya dilaporkan di The Star. Ogos lalu, cawangan CCCC di Malaysia telah mendapatkan pegangan 15% dalam WCT Precious Development Sdn Bhd (WCTPD) yang terlebih dahulu telah memperolehi tanah seluas 71,986 kaki persegi di TRX daripada 1MDB Real Estate Sdn Bhd dengan harga RM223 juta. CORE (Singapore) TRX Investment Pte Ltd, sebuah syarikat yang mempunyai kaitan kepada syarikat terkait CCCC, CCCG Real Estate Group Ltd, mempunyai pegangan 65% dalam WCTPD.
Kedua-dua syarikat dimiliki China Communications Construction Group Ltd. Komunis China sudah jadi kaum pemodal, dan mereka berada di mana-mana, terima kasih kepada United Malays National Organisation dan Barisan Nasional. Untunglah jadi syarikat China, cukai GST pun tidak dikenakan. Mungkin sebab terbesar BN mencetak kain rentangnya di Shanghai, adalah supaya ia tidak perlu membayar cukai GST. Eh bukankah GST akan buat harga barang turun? Cuba kita tanya syarikat percetakan di Shanghai itu, berapa kos yang dibayar Barisan Nasional untuk mencetak kain rentang dengan slogan ciplak?
Boleh telefon atau hantar faks dan tanyakan sendiri kepada mereka. Kedua-dua nombor ada di kain rentang BN. – Roketkini.com
Tuduhan liar konco-konco UMNO menjaja ketakutan kononnya kerajaan HARAPAN akan menutup Felda jika membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah satu pembohongan tidak masuk akal. Menyanggah tohmahan palsu yang diulang-ulang itu, kerajaan HARAPAN sebaliknya akan memperkukuh institusi berkenaan sekaligus membela generasi baru Felda tegas calon HARAPAN P80 Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji. Menurut beliau, UMNO tidak lagi memiliki integriti sehingga terpaksa menggunakan ‘senjata ketakutan’ demi mengekalkan kuasa mereka.
“Mereka nak terus berkuasa dan terpaksa menutup segala kesalahan mereka dengan cerita-cerita sebegini. Tapi rakyat sendiri melihat apa yang telah dilakukan pemimpin UMNO. Bukan sahaja isu Felda tapi MARA, Tabung Haji, KWSP, 1MDB dan sebagainnya,” katanya ketika dihubungi Roketkini. Tegas Tengku Zul, 10 janji 100 hari pentadbiran kerajaan HARAPAN jelas mempamerkan iltizam untuk memperkasa kedudukan Felda dengan menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.
Kerajaan HARAPAN juga katanya bukan sahaja akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja menyiasat skandal Felda tetapi juga badan itu akan menyiasat skandal penyelewengan 1MDB, MARA dan Tabung Haji selain merombak struktur kepimpinan badan-badan terbabit. Selain janji 100 hari, Manifesto HARAPAN juga menunjukkan komitmennya dengan Iltizam Khusus Untuk Warga Felda melibatkan seluruh kepentingan warga Felda dan generasi baru peneroka. – Roketkini.com
Rakyat Malaysia tidak perlu gusar lagi untuk membayar tol sekiranya Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya mengambil alih Putrajaya pada Pilihan Raya Umum-ke14 (PRU14) ini. Calon HARAPAN Parlimen P76 Teluk Intan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan baru HARAPAN akan memansuhkan semua tol termasuk Lebuhraya Persisiran Pantai Barat yang mempunyai Susur Keluar Teluk Intan sekiranya berjaya membentuk kerajaan baru. “Usaha untuk menghapuskan semua tol adalah salah satu iltizam Pakatan Harapan sekiranya berjaya mentadbir Putrajaya.”
“Kerajaan Pakatan Harapan akan mendedahkan segala kontrak perjanjian lebuh raya yang disembunyikan UMNO BN selama ini dan mengkaji cara terbaik untuk menghapuskan tol demi meringankan beban rakyatm” katanya dalam satu ceramah megar baru-baru ini. Nga berkata, pembinaan lebuh raya menghubungkan Teluk Intan dan Kuala Lumpur memang memberi manfaat kepada rakyat namun pelaksanaan kutipan tol telah menyebabkan beban kos hidup rakyat bertambah. Beliau pada masa yang sama turut mencabar bakal calon BN Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong menyatakan pendiriannya mengenai pemansuhan kutipan tol.
“Sekiranya Mah bersetuju, adakah dia berani mendesak bos sebenarnya iaitu Najib Razak untuk menghapuskan tol atau terus membisu seperti biasa?” soalnya lagi. Nga yang juga Pengerusi DAP Perak itu turut menyeru seluruh anak rantau di Teluk Intan supaya pulang mengundi pada 9 Mei ini untuk melakukan perubahan. – Roketkini.com
倪可敏说,免费巴士将在五月八号载送游子回家、五月九号投票完成后晩上八点再在火箭社区中心集合从安顺出发载送游子回到工作岗位。任何在新加坡工作的安顺游子欢迎what’sapp Ms See tel : 016-8870149 吉隆坡工作的游子则欢迎what’sapp联系 Ms Tan tel : 019-4284878, 座位只限安顺合格选民,先到先得、切勿错过。