Pasukan YB Nga Kor Ming Terus Berkhidmat Demi Warga Teluk Intan

(12-8-2018)

Kenyataan Media Penyelaras Parlimen Teluk Intan merangkap Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Woo Kah Leong di Teluk Intan pada 12.08.2018. Pasukan YB Nga Kor Ming Terus Berkhidmat Demi Warga Teluk Intan. Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Teluk Intan telah mengunjungi Kuil Dewi Sri Maha di Jalan Kampung Banjar serta memberikan bantuan kepada keluarga yang menghadapi kesusahan di kawasan Ulu Bernam. Bersama dengan ahli MPTI saudara Lau Yoke Boon, Woo Kah Leong yang turut merupakan ahli MPTI telah mengunjungi Kuil Dewi Sri Maha atas pelawaan pengerusi kuil tersebut, Encik Sugumuran. Difahamkan bahawa kuil tersebut yang berlokasi di Jalan Kampung Banjar telah wujud melebihi 100 tahun dan merupakan antara tempat ibadat yang paling bersejarah di pekan Teluk Intan.

Dalam kunjungan tersebut, setiausaha politik YB Nga Kor Ming tersebut telah memberikan sumbangan sebanyak RM1,000.00 kepada Kuil Dewi Sri Maha untuk menyokong aktiviti perayaan bagi para penganut Hindu. Selepas kunjungan kuil, pusat khidmat parlimen pimpinan YB Nga Kor Ming yang merangkumi ahli MPTI seperti Ong Yuen Fun dan Woo Kah Leong sempat melawati kawasan Ulu Bernam dan telah berinteraksi dengan penduduk sekitar Sungai Samak, Sungai Manila serta Ulu Bernam dan juga perkampungan Orang Asli Erong.Sesungguhnya kawasan Sungai Samak sehinggalah kampung orang asli Erong adalah berlokasi di Daerah Bagan Datuk dan berposkod Hutan Melintang dan amatlah jauh dari pekan Teluk Intan. Perjalanan dari pekan ke kawasan tersebut akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam lantaran sebahagian jalan adalah tidak berturap tar.

Walau bagaimanapun YB Nga Kor Ming tetap prihatin terhadap semua warga parlimen Teluk Intan dan telah menghantar pasukannya untuk membuat lawatan sedemikian demi lebih memahami masalah mereka. Dalam lawatan tersebut, pasukan YB Nga Kor Ming turut memberikan sumbangan kepada saudara Villan yang menghadapi masalah kelumpuhan di Ladang Sungai Erong. Kendatipun YB Nga Kor Ming sibuk dengan urusannya di Parlimen atas kapasitinya sebagai Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, namun hati beliau tetap di Teluk Intan dan sering mengamanahkan pusat khidmatnya untuk terus membela nasib warga Teluk Intan tanpa mengira kaum, warna kulit dan budaya. Pasukan khidmat YB Nga Kor Ming bukan sahaja turun padang, tetapi sentiasa berada di padang demi semua warga Teluk Intan.

Gambar 1: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Teluk Intan telah memberikan sumbangan kepada Kuil Dewi Sri Maha. Dari Kiri Kedua adalah Encik Sugumuran, Woo Kah Leong dan Lau Yoke Boon.
Gambar 2: Sebagai wakil YB Nga Kor Ming, Penyelaras Parlimen Teluk Intan Woo Kah Leong telah memberikan sumbangan kepada Villan yang sukar untuk bergerak lantaran masalah kelumpuhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *