Perak Berjaya Menarik Pelaburan Berjumlah RM1.5 bilion

(11-08-2018)

Perak berjaya menarik pelaburan sejumlah RM1.5 bilion melalui projek pembangunan Bandar Integrasi Sarung Tangan di Mukim Bidor. Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Kossan Rubber Industries Berhad hari ini merupakan satu usaha baik bagi merancakkan ekonomi negeri kelak. “Satu perjanjian antara Kossan dan PKNP yang telah memilih daerah Batang Padang sebagai lokasi pelaburan terbaru mereka dengan perbelanjaan RM1.5 bilion akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat adalah satu usaha yang baik,” katanya dalam satu sidang selepas menyaksikan majlis perjanjian kerjasama PKNP-Kossan Rubber Industries Bhd di Bangunan Darul Ridzuan.

Katanya lagi, Kerajaan negeri akan sentiasa memberi kerjasama dan memberi ruang kepada pelabur tempatan yang juga bertaraf dunia untuk menjalinkan kerjasama perniagaan dalam usaha meningkatkan ekonomi negeri dan rakyat. Terdahulu Kossan Rubber Industries Bhd akan membangunkan tanah perindustrian milik PKNP berkeluasan 824 ekar terletak di Mukim Bidor dengan pembinaan kilang sarung tangan getah akan memberi lebih 6,000 peluang pekerjaan kelak. Syarikat ini juga merupakan sebuah Syarikat Pembuatan Sarung Tangan yang ditubuhkan pada tahun 1979 dan telah disenaraikan di Bursa Saham Malaysia sejak tahun 1996 dengan penghasilan produk 100 peratus untuk pasaran eksport melebihi 190 buah negara di seluruh dunia. Sementara itu pada majlis yang sama turut berlangsung majlis tandatangan Perjanjian kerjasama di antara Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan ECK Sdn Bhd untuk pembinaan 321 unit rumah mesra rakyat di Tronoh.

Menteri Besar Ahmad Faizal juga menjelaskan bahawa projek pembinaan di kawasan perumahan seluas 25 ekar di kawasan Tronoh melibatkan pembinaan rumah 1200 kaki persegi termasuk anjung akan dijual pada harga RM90,000 bagi setiap unit. “Projek ini adalah satu perkara yang dinantikan oleh rakyat walaupun ia satu projek kecil hanya melibatkan 321 unit rumah namum saya ingin melihat keupayaan pihak pemaju untuk melaksanakannya jika ia dapat dibina dalam masa yang ditetapkan,” katanya. Projek perumahan ini juga akan memberi keutamaan kepada pembeli yang terdiri daripada golongan sasar dan anak Perak sendiri. Perumahan berkonsepkan mesra pemilik seluas 750 kaki persegi ini dijangka siap dibina dalam tempoh masa satu tahun. Sementara itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan dasar perumahan rakyat baharu pada September ini khususnya untuk rakyat di Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata kajian menyeluruh akan dijalankan secepat mungkin agar harga minimun rumah kos rendah dapat diseragamkan memandangkan pendapatan golongan berpendapatan rendah (B40) bagi negeri ini lebih rendah berbanding semenanjung. “Kita akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak dan Menteri Perumahan Tempatan Negeri bagi membincangkan perkara itu agar harga rumah mampu milik dapat diseragamkan sebelum kita umumkan kelak. Jika harga minimum ini ditetapkan maka para pemaju tidak boleh menaikkan harga rumah sesuka hati,” katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Projek Program Perumahan Rakyat Samarahan di sini hari ini. Zuraida berkata, melalui polisi baharu itu, spesifikasi sebuah rumah harus mempunyai keluasan sekurang-kurangnya 1,000 kaki persegi.

“Selain keluasan, kementerian juga mahu pemaju yang mengendalikan projek itu nanti menyediakan kemudahan yang sempurna seperti surau, tadika dan taman permainan yang boleh menampung kapasiti penduduk di taman perumahan itu,” jelas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *