Mat Sabu : Saya akan jadikan tentera Malaysia “Great Again”

(09-08-2018)

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hari ini berikrar akan menguatkan kembali pertahanan negara mengatasi negara-negara jiran, ditengah-tengah kontroversi tentang peruntukan dan penyenggaraan aset. Beliau berkata keadaan sekarang berbeza sama sekali dengan era 1970-an ketika kuasa ketenteraan Malaysia “terkuat di rantau ini”. “Kedudukan tentera laut, udara dan lain-lain paling bawah di Asia Tenggara. Jauh sekali daripada Vietnam dan Indonesia. Kita pernah berada dalam kedudukan nombor 1. Kita akan pastikan Malaysia kembali menjadi hebat,” katanya di Dewan Rakyat.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan misinya pada ketika ini adalah untuk menjadikan kesiapsiagaan ketenteraan di negara ini berada pada kedudukan yang terbaik di Asia Tenggara.

Tegasnya, kesiapsiagaan ketenteraan Malaysia pada ketika ini berada di tangga terbawah berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara. “Kita akan bincang dengan segala kepakaran dalam tentera udara, laut, serta Panglima Angkatan Tentera dalam meletakkan semula (kesiapsiagaan ketenteraan) negara ini. Sekarang ini kedudukan (ketenteraan) kita bagi laut, darat, udara di Asia Tenggara, kita berada paling bawah. Vietnam jauh ke hadapan (sementara) Indonesia nombor satu. “Malu kita kalau pergi peringkat antarabangsa, tapi saya akan jadikan Malaysia ‘great again’, jadi nombor satu semula,” kata Menteri Pertahanan di Dewan Rakyat hari ini. Beliau turut menegaskan pihaknya tidak akan mengulangi sebarang kelemahan yang dibuat Barisan Nasional (BN) ketika memegang kementerian itu. “Saya boleh mengambil sikap meletakkan kesalahan pada kerajaan dulu tapi itu tidak selesaikan masalah. Jadi mana-mana kelemahan kita akan baiki dan tak akan diulang tapi mana yang baik kita akan teruskan.”

“Sekarang saya fikir untuk perkuatkan keselamatan negara sebab InsyaAllah, BN tak akan kembali dalam masa terdekat jadi itu tanggungjawab kami,” kata Menteri Pertahanan. Mohamad Sabu juga menjawab soalan Datuk Danyal Balagopal Abdullah (PH-Port Dickson) yang bertanyakan tentang masalah peruntukan dalam melaksanakan rancangan pertahanan. Menteri Pertahanan pada Julai mendedahkan tentera tidak mampu mengekalkan tahap layak terbang 14 daripada 18 pesawat penguasaan udara, Su-30MKM, dan semua 10 pesawat tempur pelbagai peranan, MiG-29N, dengan baik. Beliau berkata kementerian sudah menamatkan kontraktor yang diambil oleh pentadbiran lepas iaitu kerajaan Barisan Nasional dan sedang mencari pengganti. Mohamad Sabu hari ini mengakui terdapat gangguan dalam aliran dana buat masa ini. Menurut beliau, tentera udara meminta RM1.8 bilion untuk menyenggara Su-30MKM tetapi hanya RM1.1 bilion diluluskan. “Mereka memerlukan penambahbaikan yang besar. Saya boleh menyalahkan kerajaan terdahulu tetapi ini tidak akan menyelamatkan keadaan,” katanya. Mohamad Sabu berkata beberapa aset lain yang sudah berusia 20 tahun perlu diganti atau diselenggara, dan kementerian sedang mencari pakar untuk melakukan kerja-kerja tersebut.

Agensi berita Reuters sebelum ini melaporkan pentadbiran lepas menangguhkan rancangan menggantikan pesawat MIG-29N dengan pesawat baru. Kerajaan sebelum ini mempertimbangkan 4 pilihan iaitu Dassault Rafale buatan Perancis, Eurofighter Typhoon buatan Eropah, Boeing F/A-18 E/F buatan Amerika Syarikat dan Saab JAS-39 buatan Sweden. Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Danyal Balagopal Abdulah (PH – Port Dickson) yang mengemukakan soalan tambahan kepada menteri sama ada kerajaan baharu akan campur tangan dengan perancangan termasuk berkaitan peruntukan untuk keselamatan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *