Manifesto PH untuk Insentif KWSP Suri Rumah bermula minggu depan

(09-08-2018)

Program Sukarela Insentif (SURI) yang membolehkan suri rumah menikmati sekuriti sosial berkualiti dan meningkatkan sekuriti pendapatan akan dilaksanakan dalam 3 fasa, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Beliau berkata, fasa satu akan bermula minggu depan pada 15 Ogos, di mana anggota SURI boleh menyimpan minimum RM5 sebulan dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing dan kerajaan pula akan menyumbang RM40 sebulan.

“Buat permulaan, kumpulan sasaran bagi fasa satu terdiri daripada suri rumah kepada ketua isi rumah. Sasaran ketua isi rumah ialah lelaki berkahwin, ibu tunggal dan janda yang berdaftar dengan e-Kasih. Kerajaan berhasrat memastikan kebajikan orang ramai. Bagaimanapun, setiap rakyat perlu menunjukkan kesungguhan untuk meningkatkan taraf hidup. Sumbangan minimum RM5 setiap bulan di bawah program ini mewakilkan komitmen daripada orang ramai dan pada masa sama menyemai sifat suka menabung untuk masa depan mereka,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Sekuriti Sosial Antarabangsa KWSP 2018, hari ini. Wan Azizah berkata, sumbangan kerajaan itu akan dinaikkan kepada RM50 pada fasa ke-2 insentif itu, di mana sejumlah RM10 akan diagihkan untuk perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso). Beliau bagaimanapun berkata, sebagai perlindungan di bawah Perkeso, buat masa sekarang ia tidak diperluaskan kepada suri rumah kerana ada keperluan untuk membuat beberapa perubahan undang-undang bagi membolehkan fasa ke-2 dilancarkan awal tahun depan.

Katanya, program itu akan dilanjutkan ke fasa ke-3 ketiga, di mana 2% daripada sumbangan KWSP suami akan dimasukkan dalam akaun isteri. “Untuk sampai ke fasa ke-3 ini akan mengambil masa kerana ia memerlukan pindaan dilaksanakan terhadap Akta KWSP 1991. Kita masih meninjau beberapa pilihan untuk tujuan ini, dengan mengambil kira beberapa faktor kewangan dan bukan kewangan,” katanya sambil menambah kerajaan berharap dapat melancarkan fasa itu awal 2020. Beliau berkata, insentif itu sebahagian daripada 10 janji Pakatan Harapan dan kerajaan mampu memenuhi janji itu dalam tempoh berkenaan. Katanya, menerusi perkongsian strategik dengan KWSP dan Perkeso, kerajaan berharap dapat melihat lebih ramai wanita mendapat perlindungan sosial dan sekuriti pendapatan layak diterima mereka serta memastikan mereka dapat menjalani kehidupan dengan kehormatan sepanjang usia emas mereka. “Apa yang penting ialah mempelajari kesilapan lepas dan memperkenalkan dasar berkesan yang boleh bertindak balas kepada keadaan ekonomi, penyelesaian bukan sahaja kepada kesan daripada keadaan semasa, malahan bagi menguatkan persediaan menghadapi masa depan, “ hujah Timbalan Perdana Menteri.

Persidangan 2 hari bertemakan “A Better Tomorrow” itu memberi peluang kepada KWSP menimba kepakaran dari segi pertumbuhan dan kesejahteraan dunia, di samping memperbaiki kehidupan menerusi pengurusan pelaburan dan kekayaan. Pada sidang media selepas merasmikan persidangan itu, Wan Azizah berkata, seramai 359,065 wanita berdaftar dengan sistem e-Kasih bakal menerima manfaat insentif itu dalam fasa pertama. Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk pelaksanaan fasa pertama itu mulai minggu depan hingga hujung tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *