Nga Kor Ming : Saya perlu bersikap berani, tegas dan adil

(07-08-2018)

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming tanpa berselindung mengakui amanah yang diterimanya cukup berat dalam mengendalikan persidangan yang dilihat banyak pihak kali ini akan ‘lebih panas’ dengan melibatkan pertembungan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. Namun begitu, katanya kepada Utusan Malaysia, tugas itu akan dipikul dan galas dengan baik demi mengangkat martabat serta imej Parlimen selain untuk memakmurkan sistem demokrasi di negara ini.

Tambahnya lagi, bagi memastikan persidangan sentiasa dapat berjalan lancar, penting baginya untuk menjadi seorang yang professional. “Saya perlu berani, tegas dan adil. Setiap saat apabila saya duduk di atas kerusi Speaker Dewan Rakyat, saya akan ingatkan diri supaya perlu bersikap adil kepada ahli Parlimen pembangkang dan juga kerajaan,” katanya. Memetik wawancara bersama Utusan Malaysia, berikut adalah komen YB Nga mengenai beberapa soalan yang ditanya oleh wartawan . Pertamanya ialah apakah perasaaan YB selepas dilantik untuk jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Beliau berjawab, “Jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Di­pertua adalah jawatan yang penuh tanggungjawab dan merupakan satu amanah cukup berat yang harus dipikul dan galas dengan baik. Parlimen adalah sebuah institusi perundangan yang cukup penting sekali yang memainkan empat peranan utama iaitu menggubal undang-undang, mengimbang dan memeriksa kuasa-kuasa eksekutif, membawa suara rak­yat dan sebagai lambang sistem demokrasi berparlimen di negara ini. Oleh kerana itu, sebagai ketua kepada institusi ini, seharusnya kami memikul tanggungjawab yang berat bagi membangun dan mengangkat martabat serta imej Parlimen selain bertanggungjawab untuk memakmurkan sistem demokrasi di negara kita. Saya berasa terharu dan juga bangga dengan tanggungjawab dan peranan baru ini kerana saya sedar ini merupakan tanggungjawab dan amanah yang cukup penting.”

Apabila ditanya bagaimana sambutan dalam kalangan ahli Parlimen yang lain dalam bersama-sama dengan aspirasi untuk mengangkat martabat dan imej Parlimen, YB Nga berkata, “Dalam aspek ini ada sedikit mengecewakan apabila saya perhatikan khususnya dari pembangkang, ramai yang masih dengan kisah lama dan memainkan sentimen perkauman dan juga agama yang sebenarnya tidak sihat. Kita akui semua pihak patut menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan di bawah Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan pada masa yang sama agama-agama lain juga diberikan kebebasan untuk diamalkan. Sebab itu pada hari pertama bertugas, saya memberikan nasihat kepada seluruh ahli Parlimen bahawa yang pertama bahawa mereka wajib baca dan fasih Perlembagaan Persekutuan kerana Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di ta­nah air kita, ini penting. Kedua apabila mereka angkat sumpah, seluruh anggota dewan berikrar akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, ma­ka jika sudah mengangkat sum­pah dan pertahankan perlembagaan, jadi wajiblah anda fa­ham dan baca aspirasi semangat yang didukung oleh undang-undang tertinggi di negara kita. Sebab itu saya nasihatkan ahli Parlimen ini supaya mereka perlu faham bahawa mereka boleh masuk ke dewan ini kerana dapat sokongan pelbagai kaum, tidak ada satu kawasan di 222 kerusi Parlimen yang mempunyai 100 peratus hanya satu kaum, kebanyakan kawasan mesti majmuk.”

Wartawan seterusnya juga bertanya dalam kalangan 222 ahli Parlimen kali ini, ramai merupakan pertama kali memikul tanggungjawab tersebut, bagaimana dengan prestasi mereka termasuk semasa berhujah dan berbahas. “Ya, dalam kalangan ahli Parlimen ketika ini terdapat 90 orang ahli Parlimen baharu yang tidak pernah memikul tanggungjawab tersebut sebelum ini malah bilangan ahli Parlimen wanita juga meningkat berbanding dahulu. Ini merupakan satu perkemba­ngan positif yang wajar kita angkat. Oleh itu, seluruh ahli Parlimen apabila mereka berhujah mereka haruslah berhujah dari perspektif negara Malaysia secara am bukannya berasas dari sudut pandangan sempit yang saya rasa haruslah dielakkan. Daripada segi perbahasan mungkin ada di antara mereka yang telah mengambil iktibar peristiwa hari pertama, sebab itu penyata pertama saya selaku Timbalan Yang Dipertua telah mengingatkan kepada adakah semua hujah mereka itu dapat menjadikan rakyat yang diwakili mereka akan rasa bangga atau malu. Mereka juga kena faham adakah hujah mereka berasaskan fakta, statistik atau retorik kosong dan adakah mereka pegang kepada amanah dan janji mereka dan jangan lupa bahawa Parlimen ini adalah tempat dari rakyat untuk rakyat oleh rakyat,” komen YB Nga.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat juga ditanya bahawa sebelum ini beliau bersama Datuk Ngeh Koo Ham dan YB V. Sivakumar pernah digantung daripada menghadiri sidang selama 10 hari mulai 26 Mac yang lalu kerana mendesak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Seri Pandikar Amin Mulia meletakkan jawatan dan justeru itu adakah beliau juga akan bertindak tegas kepada mana-mana ahli Parlimen yang melanggar peraturan sidang dewan? YB Nga berkata “Mungkin saya kena jelaskan kenapa kami digantung, ini kerana dalam tempoh itu kami banyak kali bangkitkan skandal 1MDB kerana perkara itu melibatkan berbilion duit rakyat tetapi waktu itu mantan Yang Dipertua menyapu masalah di bawah karpet dan mengeluarkan larangan untuk tidak boleh bertanya me­ngenainya. Saya rasa sebagai ahli Parlimen kami ada hak untuk mempertahankan suara rakyat, oleh itu kami digantung selama 10 hari.

“Saya bersyukur jika bukan Dewan Rakyat dibubarkan, mungkin minggu pertama dan kedua sidang dewan kami masih dalam pergantungan lagi. Saya percaya seperti orang Melayu kata bahawa berani kerana benar, jika kita benar, tak usah takut dan saya sebagai seorang yang profesional saya perlu penuhi tiga syarat iaitu berani, tegas dan adil. Tiap-tiap saat apabila saya duduk di atas kerusi speaker saya akan ingatkan diri saya supaya perlu bersikap adil kepada pembangkang dan kerajaan. Oleh ke­rana itu saya telah beri peringatan kepada semua bahawa mereka yang berdegil, sengaja mengundang dan berniat mahu mencari publisiti murahan serta mahu mengganggu dan membazirkan masa ahli Parlimen lain, saya akan ambil tindakan tegas. Speaker ada kuasa di bawah Perkara 42, 43 dan 44 dan saya akan menjemput mereka ini yang sengaja selepas teguran diberikan, untuk berehat atau perkataan diplomatiknya adalah untuk menjemput mereka keluar,” beliau seterusnya berkata.

Mengenai soalan di dalam Dewan Rakyat ketika ini yang mempunyai tiga bekas Timbalan Yang Dipertua iaitu Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, adakah semasa menjalankan tugas, YB rasa seperti diperhatikan oleh ketiga-tiga mereka ini? Jawapan beliau ialah “Saya rasa inilah suatu pengalaman yang cukup istimewa dan saya hargai segala teguran kerana saya masih lagi dalam proses belajar sebab itu saya minta daripada senior-senior yang lebih berpengalaman supaya sentiasa beri tunjuk ajar kerana sebagai pemimpin kita haruslah seperti peribahasa Melayu iaitu umpama padi makin berisi makin tunduk dan ini adalah sikap yang mulia yang patut kita amalkan. Saya selalu menghargai apabila ada pemimpin-pemimpin yang lebih berpengalaman sudi berikan tunjuk ajar dan setakat ini saya rasa persidangan dewan berjalan dengan lancar dan tertib.”

Soalan seterusnya ialah ketika kempen pilihan raya umum yang lalu, nama YB di­sebut akan dilantik sebagai menteri jika Pakatan Harapan membentuk kerajaan Persekutuan. Namun perkara itu tidak berlaku tetapi YB diberi kepercayaan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan apakah komen beliau terhadap perkara ini. Beliau berkata “Sebagai Timbalan Setiausaha Agung DAP memang itu merupakan pengumuman terbuka yang dibuat oleh PH ketika bertanding di Teluk Intan namun saya selalu percaya pepatah Melayu iaitu haiwan berpegang pada tali, manusia pula berpegang pada janji. Walaupun tidak dilantik sebagai menteri, saya juga bersyukur kerana waktu ini saya rasa apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng serta pucuk pimpinan PH letakkan saya di posisi ini memang ada hikmahnya kerana ini adalah masa yang terbaik untuk kita melakar lembaran sejarah yang baru kerana pembaharuan Parlimen kini giat dilakukan. Dalam manifesto PH menerusi bab 16 terdapat janji untuk kami menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen supaya Parlimen menjadi sebuah badan yang bebas, merdeka daripada kawalan eksekutif, ini penting kerana apabila akta ini dihidupkan semula pejabat speaker mempunyai peruntukan sendiri sekali gus contohnya boleh menjadikan Parlimen ini mempunyai kakitangan yang bertaraf profesional dan disegani.”

Beliau menerus jawapannya dengan berkata “Malah rombakan sistem Parlimen juga boleh dilaksanakan dan mungkin Parlimen suatu hari nanti boleh jadi salah satu tempat tumpuan pelancongan seperti Dataran Merdeka ataupun Istana Negara Lama. Menerusi pembaharuan Parlimen ini juga, kami mahu menjadikan kedudukan Ketua Pembangkang juga bertaraf menteri supaya pembangkang dapat memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *