TPM : Perbelanjaan RM50juta untuk perolehan aset hadapi banjir

(06-08-2018)

Sejumlah RM50 juta telah dibelanjakan untuk perolehan aset bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Beliau berkata ia merangkumi pembelian antaranya bot amfibia, bot penyelamat pelbagai saiz, pacuan empat roda, lori lima dan tujuh tan serta ‘cubicle tent’. Katanya kerajaan juga melaksanakan program pembinaan keupayaan melalui latih amal dan bengkel melibatkan pegawai daerah serta ketua polis daerah bagi mengendalikan pusat kawalan operasi bencana dan pusat kawalan tempat kejadian.

“Sesi latih amal turut diadakan kepada masyarakat dan setakat ini melibatkan 6,000 penyertaan di 12 lokasi selain libat urus bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta bagi memastikan urusan bantuan di lokasi bencana lebih terselaras,” kata Timbalan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini. Beliau menjawab soalan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) mengenai langkah diambil untuk menghadapi kemungkinan bencana banjir musim tengkujuh pada hujung tahun ini. Menjawab soalan tambahan Tan mengenai langkah jangka pendek dan panjang kerajaan dalam mengurangkan kesan buruk bencana banjir, Dr Wan Azizah berkata penting bagi negara mempunyai sistem ramalan yang lebih baik serta tepat bagi mengurangkan risiko bencana. Dr Wan Azizah juga berkata kerajaan, bagaimanapun sedang dalam proses melakukan pemodenan Pusat Arahan Bencana Kebangsaan melalui pembangunan sistem ‘Disaster Recovery Centre’ yang dijangka siap sebelum September 2019.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata ia adalah antara penambahbaikan dilakukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menghadapi bencana di negara ini khususnya banjir. Katanya ‘Science & Technology Expert Panel (STEP)’ juga dilantik sebagai badan penasihat kepada NADMA bagi memperkasa dan mengarusperdanakan pengurusan risiko bencana Negara. Selain itu, pelaksanaan program pembinaan kapasiti melalui program MySMART Hero dengan meningkatkan tahap kesediaan menghadapi bencana dalam kalangan guru dan murid tadika. Sementara itu, timbalan perdana menteri berkata kerajaan juga akan berusaha melakukan penyelarasan bantuan yang lebih baik dengan NGO bagi memastikan penyaluran bantuan dapat sampai kepada mangsa yang memerlukan. “Kadang-kadang NGO ini berniat baik tetapi dilonggokkan (bantuan) dan tidak ada yang menyalurkan kepada mangsa. Kadangkala pula menjadi bahan politik, dilonggokkan semuanya dan disampaikan oleh ahli politik yang turun dan mengambil gambar (bagi publisiti),” kata beliau.

Manakala mengenai isu penjimatan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan akan hanya memerlukan RM4.9 bilion daripada RM12.3 bilion perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan tahun ini susulan penstrukturan semula agensi-agensi jabatan berkenaan. Manakala, perbelanjaan operasi akan dikurangkan dua peratus atau RM100 juta daripada RM5.2 bilion yang diperuntukkan. Penjimatan itu adalah selepas pemansuhan Majlis Profesor Kebangsaan dan penamatan khidmat beberapa penasihat dan diplomat kerajaan. “Bagaimanapun, penjimatan atau pengurangan dalam peruntukan kerajaan tahun ini hanya boleh dimuktamadkan selepas penstrukturan JPM diselesaikan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong. Liew berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir yang bertanya jumlah penjimatan Jabatan Perdana Menteri. Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebelum ini disifatkan sebagai terlalu bertumpu pada JPM. Najib memperuntukkan RM18 bilion bagi jabatan itu pada 2018, atau 6.1 peratus daripada keseluruhan belanjawan. Sebaliknya, peruntukan bagi Kementerian Kesihatan adalah RM27 bilion untuk tahun ini.

Perbelanjaan JPM pertama kali melebihi RM10 bilion pada 2010 selepas Najib mengambil alih. Ia mencecah RM20 bilion pada 2016. Purata peruntukan bagi JPM dari tahun 2010 hingga 2018 adalah RM16.5 bilion.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *