SPRM tahan Bekas CEO PEKA

(03-08-2018)

Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan yang berlaku di syarikat milik penuh kerajaan negeri Perak itu. Tangkapan itu susulan laporan yang dibuat Lembaga Pengarah PEKA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, kelmarin berhubung penyelewengan membabitkan tuntutan palsu oleh sebuah syarikat perunding membabitkan kerugian yang dianggarkan jutaan ringgit.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan dan menurutnya satu sidang media mengenai kes terbabit akan diadakan di Ibu Pejabat SPRM Perak di sini jam 3 petang hari ini. Bekas Ketua Pegawai Eksekutif berkenaan juga dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pagi ini untuk permohonan reman. Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How mendedahkan siasatan audit dalaman yang dijalankan terhadap PEKA mendapati berlaku ketirisan dalam syarikat berkenaan dipercayai membabitkan tuntutan palsu oleh sebuah syarikat perunding. Tuntutan palsu dengan jumlah kerugian dianggarkan jutaan ringgit itu membabitkan nilai penyelewengan sebanyak RM133,000 sebulan untuk tempoh empat hingga lima tahun lalu. Antara penyelewengan yang dikesan adalah laporan menyatakan 6,000 pencari kerja berjaya ditempatkan di sektor pekerjaan setahun namun bilangan sebenar hanya 100 orang. Siasatan awal juga mendapati caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibayar syarikat perunding yang dilantik berkenaan, selain terdapat tunggakan bayaran bulanan Telekom Malaysia mencecah RM30,000 serta tunggakan bulanan sewa ruangan pejabat mencecah RM80,000.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kerjaya Amanjaya (Peka) ini direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret di Ipoh hari ini. Majistret Siti Hafiza Jaafar membenarkan permohonan reman tersebut bermula hari ini sehingga 9 Ogos depan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan lanjut terhadapnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *