Dewan Rakyat benarkan ahli Parlimen bangkit isu 1MDB

(2-8-2018)

Ahli-ahli Parlimen kini dibenarkan membangkitkan isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dalam sidang Dewan Rakyat tetapi tertakluk kepada hal-hal sivil sahaja. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, kebenaran ini dibuat berdasarkan amalan yang telah dilakukan di peringkat antarabangsa termasuk Australia dan United Kingdom (UK). Walau bagaimanapun, Mohamad Arif tidak mengetepikan perintah tegahan sementara oleh Mahkamah Tinggi supaya tiada perbincangan isu-isu berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Katanya, kebenaran terbaharu ini adalah berlainan dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebagai menghormati amalan pengasingan kuasa di negara ini.

“Prinsip subjudis ini sewajarnya tidak menghalang kebebasan dan hak untuk ahli-ahli Parlimen membangkitkan perkara yang menjdi perhatian masyarakat umum, selagi ia tidak melibatkan pertuduhan-pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB,” katanya sebelum sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini. Mohamad Arif membuat keputusan itu setelah Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) pada 25 Julai lalu yang meminta nasihatnya berhubung perintah bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menghalang semua ahli Parlimen daripada membincangkan isu berkenaan 1MDB.

Pada 2016, Pandikar menetapkan peraturan bahawa sebarang soalan berkaitan tindakan saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam sidang Dewan Rakyat tidak perlu dijawab menteri berkenaan kerana bersifat subjudis. DOJ sebelum ini memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB yang didakwa telah diselewengkan. Pandikar berkata, keputusan yang dilakukannya bukan atas pengaruh atau untuk kepentingan pihak tertentu sebaliknya berdasarkan tiga Peraturan Mesyuarat iaitu Peraturan Mesyuarat 23(1)(g), 36(2) dan 21 (1)(a).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *