Wakil Rakyat Balakong meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya

(20-07-2018)

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, YB Ng Tien Chee, meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, Cheras tengah malam tadi. Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, dalam satu kenyataan berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi di Kilometer 11. 7 lebuh raya berkenaan. Ng dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kajang.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, Nissan Xtrail dipandu Ng Tien Chee dipercayai terlanggar belakang sebuah lori milik syarikat konsesi Lebuhraya Grand Saga. Ng dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian. “Akibat daripada kemalangan itu, mangsa, pemandu kereta Nissan Xtrail sudah meninggal dunia. Mangsa adalah ADUN Balakong, YB Ng Tien Chee, maut di tempat kejadian,” katanya. Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, menerusi Twitter menggunakan akaun @AmirudinShari mengucapkan takziah kepada keluarga Tien Chee. “Saya telah menerima berita dukacita YB @eddiengtienchee, ADUN Balakong telah meninggal dunia akibat nahas kemalangan jalan raya. “Takziah diucapkan kepada keluarga. Saya turut merasa sedih dan terkejut apabila menerima berita pemergian mendiang YB Ng Tien Chee,” katanya. Pada pilihan raya umum ke-14 lalu Ng mengalahkan dua pencabar masing-masing dari BN, Lim Chin Wah, dan Mohamad Ibrahim Ghazali, dengan kelebihan 35,538 undi. Ng memperoleh 41,768 undi berbanding Lim (5,875 undi) dan Mohamad Ibrahim (6,230).

Sementara itu, guru agama, Zawawi Mughni dinamakan sebagai calon PKR untuk mewakili parti itu pada pilihan raya kecil kerudi dewan undangan negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini. Nama Zawawi diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada majlis pelancaran jentera pilihan raya parti itu di Jalan Kebun, malam semalam. Zawawi turut menerima watikah sebagai calon PKR untuk bertanding pada pilihan raya kecil terbabit. Pilihan raya kecil terpaksa diadakan di Sungai Kandis ekoran penyandangnya Shuhaimi Shafie meninggal dunia pada 2 Julai lalu. Zawawi ialah setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama serta anggoja Jawatankuasa Biro Pendidikan PKR pusat. Di atas kertas kerusi DUN Sungai Kandis boleh dianggap selesa buat Pakatan Harapan. Pada pilihan raya umum lalu Shuhaimi memenangi kerusi berkenaan dengan kelebihan sebanyak 12,480 undi. Beliau memperoleh 23,998 undi berbanding pencabar terdekat Kamaruzzaman Johari (BN).

Turut bertanding di situ ialah Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan Hanafiah Husin (PSM). DUN Sungai Kandis mempunyai 50,800 pengundi berdaftar dengan 72 peratus daripadanya ialah Melayu. Berusia 48 tahun Zawawi juga menjadi pengetua Maahad Tafiz Al-Fateh yang terletak di Jalan Kebun, Shah Alam. Semasa menyampaikan ucapannya Dr Wan Azizah berkata semua penyokong HARAPAN tidak boleh memandang mudah pilihan raya kecil berkenaan. “Oleh itu, saya mohon semua supaya bekerja keras untuk PKR, untuk HARAPAN dan agar Selangor diperkukuhkan demi kebaikan masa depan kita bersama,” katanya. Turut hadir, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. Sementara itu, Amirudin mengingatkan pengundi Sungai Kandis supaya tidak cuba untuk meletakkan wakil rakyat pembangkang di dalam DUN Selangor melalui pilihan raya kecil berkenaan.

“Kerajaan kini giat membaiki keadaan (negara) dan di bawah HARARAN diketuai PKR kita bukan hanya mampu mentadbir, tetapi kita adalah kerajaan yang jauh lebih baik daripada BN,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *