Mohd Ariff, Rashid dan Nga dilantik sebagai Speaker dan Timbalan Speaker

(16-07-2018)

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Yusof dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru. Pada 11 Julai lalu, sumber media tempatan berkata Mohamad Ariff mungkin dipilih selepas calon terdahulu Datuk Johari Abdul mencetuskan kontroversi ekoran kedudukannya sebagai ADUN Gurun. Dalam reaksi segeranya, Mohamad Ariff menyuarakan rasa terima kasihnya atas pemilihan itu.

“Tentunya saya rasa berterima kasih dan rendah diri untuk dinamakan sebagai calon untuk dipilih bagi speaker Dewan Rakyat yang baru,” katanya. Menurut biografi rasminya, Mohamad Ariff memulakan kerjaya pada 1974 sebagai pensyarah undang-undang dan seterusnya profesor madya Fakulti Undang-undang di Universiti Malaya, sebelum menjadi peguam pada 1986. Bapa kepada lima anak itu merupakan pengasas bersama firma Cheang & Ariff. Antara 1993 hingga 1995, beliau keluar sementara daripada bidang guaman apabila menyertai Suruhanjaya Sekuriti yang baru ditubuhkan ketika itu dan menjadi pengarah pertama jabatan penyeliaan pasaran. Pada September 2008, beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi dan kemudian hakim Mahkamah Tinggi setahun kemudian. Pada September 2012, beliau menjadi hakim Mahkamah Rayuan dan memegang jawatan itu selama tiga tahun sehingga persaraannya pada awal 2015. Mohamad Ariff juga ketua jawatankuasa disiplin parti AMANAH tetapi beliau melepaskan semua jawatan dalam Amanah sebelum 2 Julai lalu kerana speaker Dewan Rakyat perlu bebas daripada sebarang politik kepartian. “Saya letak jawatan dalam 26 Jun atau 28 Jun,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir mengesahkan Ariff menyerahkan surat peletakan semua jawatan dalam parti itu, termasuk pengerusi Lembaga Disiplin dan Tatatertib serta ahli Majlis Penasihat Pakar Amanah pada 1 Julai lalu. “Beliau melepaskan semua jawatan yang beliau pegang dalam parti. Kini, beliau hanya ahli biasa,” kata Anuar. Manifesto PH jelas menyatakan speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan dilantik daripada kalangan ahli dewan yang mempunyai integriti serta kredibiliti, selain perlu berhenti daripada politik kepartian sebaik sahaja menerima jawatan itu. Ariff yang merupakan bekas hakim Mahkamah Rayuan dan ahli Amanah mengangkat sumpah sebagai speaker Dewan Rakyat hari ini, namun ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) serta PAS bertindak keluar dewan sebagai tanda protes terhadap pelantikan itu yang didakwa tidak mematuhi peraturan Dewan Rakyat. Mengikut Peraturan Mesyuarat 4 (1), kerajaan perlu menyerahkan nama speaker kepada setiausaha Dewan Rakyat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Parlimen mula bersidang.

Tetapi, ahli Parlimen BN dan PAS mendakwa beberapa pemimpin serta menteri PH dilaporkan pada 2 Julai lalu berkata, kerajaan belum memutuskan siapa calon speaker Dewan Rakyat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dilaporkan berkata, nama speaker sudah diserahkan 2 Julai lalu, manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, pihaknya membincangkan perkara itu pada 8 Julai lalu. Hari ini, Dr Mahathir mempertahankan pelantikan Ariff dengan berkata, PH menyerahkan nama calon speaker pada 2 Julai lalu. Sementara itu, Ariff turut mempertahankan pelantikannya sah dan tidak melanggar peraturan Dewan Rakyat kerana surat usul pencalonannya dihantar kepada setiausaha Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu. “Itu boleh disahkan oleh setiausaha Dewan Rakyat.” Beliau berkata, demokrasi Parlimen hanya boleh dicapai dengan adanya kerjasama daripada semua ahli Parlimen, termasuk pembangkang. “Jadi, kita lihat macam mana boleh baiki (demokrasi Parlimen) secara bersama. Ini bukan kerja ahli Parlimen kerajaan, menteri, tetapi saya fikir semua orang” katanya.

Di samping itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dilantik sebagai timbalan yang dipertua Dewan Rakyat. Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengumumkan pelantikan itu selepas Rashid dan Nga mendapat undian tertinggi daripada 3 calon. “Rashid memperolehi 171 dan Nga memperoleh 124 undi. Manakala Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Ronald Kiandee memperoleh 93 undi,” katanya di dalam Dewan Rakyat. Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kedua-nama nama tersebut. Manakala Barisan Nasional (BN) melalui Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan Ronald. Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah berkata 3 senarai calon itu dihantar kepadanya pada 2 Julai lalu. Mohamad Ariff yang juga speaker Dewan Rakyat yang baharu berkata disebabkan ada 3 calon, maka proses pemilihan akan melalui undi oleh ahli parlimen.

Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 memulakan mesyuarat pertamanya hari ini, selepas pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu. Semua 221 ahli parlimen mengangkat sumpah kecuali Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ahli parlimen Pagoh, yang bercuti sakit selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreas baru-baru ini. Urusan mesyuarat kemudiannya akan disusuli dengan pemilihan 2 timbalan yang dipertua Dewan Rakyat daripada kalangan ahli parlimen bagi membantu yang dipertua Dewan Rakyat mengendalikan urusan mesyuarat dan memastikannya berjalan lancar. Ini merupakan kali pertama dalam sejarah negara menyaksikan peralihan kerajaan daripada BN dan detik itu disiarkan secara langsung oleh semua stesen TV utama negara.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 16 Ogos.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *