Imigresen batal passport Jho Low bulan lalu

(04-07-2018)

Jabatan Imigresen mengesahkan pasport ahli perniagaan yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dibatalkan pada 15 Jun lalu bagi membantu siasatan 1MDB. Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata pembatalan itu dilakukan atas permintaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Pasport beliau telah dibatalkan, jadi apa-apa tindakan akan diambil di luar negara kerana dia tidak lagi memiliki pasport Malaysia, sekiranya dia mahu travel dia akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa di sana,” katanya kepada media pada majlis sambutan Hari Raya Jabatan Imigresen di Putrajaya hari ini. Semalam, SPRM mengulangi pendirian perdana menteri menolak tawaran Jho Low untuk penyiasat agensi itu mengambil keterangannya di Dubai. Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sebaliknya meminta Jho Low pulang ke tanah air.

Jho Low dan 4 individu lain dikehendaki SPRM dalam siasatan ke atas AS$4.5 bilion yang didakwa disalurkan dari 1MDB antara 2009 dan 2015. Media pada bulan lalu turut melaporkan Interpol mengeluarkan notis merah ke atas Jho Low pada Oktober 2016 berdasarkan permohonan Singapura kerana disyaki melakukan kesalahan di negara itu dan gagal dikesan di sana. Pada 28 Jun lalu, SPRM menyerbu sebuah unit pangsapuri di Jalan Kia Peng yang dikatakan milik Jho Low.

Dalam pada itu, Mustafar berkata pihaknya mengesahkan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos ke luar negara dengan menggunakan “jalan tikus”. “Sudah pastinya dalam hal ini, Jamal menggunakan jalan tikus melalui Tanjung Balai, Indonesia. Dia ditangkap di Jakarta Selatan dan pegawai saya di Jakarta juga menyerahkan laporan kepada saya. Dia yang kini ditahan pihak berkuasa Indonesia bakal dihantar pulang ke Malaysia dan pihak kami akan mendakwanya atas kesalahan imigresen yang berkaitan,” katanya. Dua hari lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengesahkan Jamal ditangkap oleh Polis Negara Republik Indonesia (POLRI). Bekas calon ketua pemuda Umno itu dikehendaki polis kerana disiasat berhubung sembilan kes yang dikaitkan terhadapnya.

Jamal, yang melarikan diri semasa proses ikat jamin dijalankan di Hospital Ampang Puteri pada 25 Mei lalu, didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkaitan kes gangguan awam selepas memimpin bantahan pada Oktober 2017 dengan memecahkan beberapa botol minuman keras di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *