Nasihat dari Tun Mahathir menjelang Hari Raya

(14-06-2018)

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada seluruh rakyat yang akan menyambutnya, esok. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerjanya masih menimbun walaupun esok adalah Hari Raya. Bagaimanapun, beliau sempat mencuri sedikit masa untuk mesej video di mana dirinya memberi nasihat untuk mereka yang akan pulang ke rumah untuk bersama keluarga mereka.

Menerusi rakaman video yang dimuatnaik Chedet Official di Facebook, hari ini, beliau turut mengingatkan rakyat yang pulang ke kampung halaman supaya berhati-hati memandu. “Hari ini hari terakhir berpuasa, esok hari raya Aidilfitri tetapi hari terakhir ini, saya masih bertimbun kerja dan terpaksa bekerja sampai petang dan tidak boleh rehat. Jadi kepada semua yang sedang balik ke kampung, ingatlah keluarga menunggu dan jangan kecewakan mereka dengan terbabit dengan kemalangan di jalan raya.” Tun Dr Mahathir turut mengingatkan mereka yang pulang supaya tidak tergesa-gesa dan memandu dengan berhati-hati. “Jangan terburu-buru, kerana hanya sedikit sahaja lebih cepat, … kadang-kadang untuk sampai ke rumah 15 minit lebih awal kita gopoh dan dengan itu kemalangan boleh berlaku. Oleh itu, pandulah dengan cermat, biar lambat asal selamat, jangan terburu-buru,” katanya.

Dr Mahathir turut menasihatkan rakyat supaya tidak makan terlalu banyak pada hari raya dan makan secara bersederhana. Menerusi video berkenaan, Perdana Menteri turut berkongsi saat hari raya yang paling mengembirakannya apabila seluruh keluarga dapat berkumpul dan berhari raya bersama selepas selesai solat sunat Aidilfitri. Selain itu, beliau juga sempat berkongsi mengenai kuih, lagu dan warna baju raya kegemarannya. “Kuih makmur tetapi kurang gula, dulu saya banyak gula, saya sekarang kurang gula. Lagu kegemaran Selamat Hari Raya dendangan Allahyarham Sudirman, warna baju ungu,” katanya. Beliau juga menasihati mereka yang meraikan Hari Raya untuk menjauhkan diri daripada bermain mercun.

Sebelum mengakhiri rakaman itu, Perdana Menteri turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya dan menjemput rakyat untuk hadir ke Rumah Terbuka Perdana Menteri yang diadakan di Seri Perdana, Putrajaya, esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *