Kesultanan Johor tidak pernah guna wang rakyat

(13-06-2018)

KESULTANAN Johor tidak pernah mengambil duit rakyat, kata istana hari ini, mengulas dakwaan bahawa Raja-Raja Melayu berbelanja dengan mewah. Kesultanan Johor tidak pernah mengambil wang rakyat, tetapi sebenarnya telah mendermaka seluruh peruntukan kerajaan negeri yang diterima kepada rakyatnya sejak tahun 1899 lagi, maklum kenyataan Istana Johor. Kenyataan yang disiarkan menerusi hantaran di halaman Facebook Johor Souther Tigers, pihak istana negeri berkata sejak pemerintahan Sultan Abu Bakar pada 1899, Kesultanan Johor telah menderma gaji sebagai sultan yang diperuntukkan kerajaan bagi membantu rakyat di negeri itu.

Amalan ini kemudiannya diteruskan pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Sultan Ismail di mana dana tersebut disalurkan kepada Yayasan Sultan Iskandar demi manfaat rakyat Johor bagi membantu golongan yang memerlukan. “Kesultanan Johor sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1899 telah mendermakan kesemua gaji dan elaun Baginda yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada yayasan tersebut bagi membantu Bangsa Johor yang memerlukan.” menurut kenyataan tersebut. Penjelasan ini datang selepas wujud dakwaan kira-kira RM256.9 juta telah dibelanjakan untuk Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan, semenjak beliau menjadi Yang di-Pertuan Agong. Wartawan veteran A Kadir Jasin dalam catatan blognya mengatakan selama 16 bulan sehingga April tahun ini, sejumlah RM256.9 juta diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. Sehubungan ini, Kadir telah meletak jawatan sebagai ketua media dan unit komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan.

Menurut kenyataan itu lagi, yayasan Sultan Iskandar bukan sahaja membantu orang miskin, malah dana itu turut digunakan bagi membiayai pelajaran, bantuan bencana alam serta projek literasi computer. “Sultan Johor kini, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar turut mempunyai yayasan sendiri bertujuan memberi bantuan pendidikan, kebajikan, biasiswa pelajar miskin, perubatan serta bantuan kepada warga emas dan orang kurang upaya. “Dana untuk yayasan berkenaan adalah sumbangan daripada semua elaun diraja yang diterima baginda,” kata kenyataan itu lagi. Sejak era Sultan Sir Ibrahim sampai saat ini, hasil dan pendapatan keluarga di-Raja Johor berasal daripada pengurusan perladangan serta perusahaan lain seperti hartanah, kata kenyataan itu.

“Kesultanan Johor juga mempunyai beberapa perniagaan yang lain termasuk hartanah.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *