Pengerusi SPR bersara awal

(13-06-2018)

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, tempoh perkhidmatan Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dipendekkan berkuat kuasa 1 Julai ini, dua tahun lebih awal dari tarikh beliau sepatutnya bersara wajib. Melalui kenyataan yang dikeluarkan unit komunikasi korporat suruhanjaya itu hari ini, memaklumkan Mohd Hashim “akan memendekkan tempoh perkhidmatan” beliau, dan ia sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Pemendekan tempoh perkhidmatan ini telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan dimaklumkan melalui surat daripada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara bertarikh 7 Jun 2018. “Pemendekan tempoh perkhidmatan ini juga telah dimaklumkan kepada YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohd melalui surat rasmi bertarikh 11 Jun 2018,” kata kenyataan SPR itu. “SPR turut merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Mohd Hashim Abdullah atas khidmat bakti beliau sepanjang perkhidmatan di SPR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Tan Sri Mohd Hashim yang berusia 64, menyertai SPR pada 5 September 2014 sebagai Timbalan Pengerusi dan dinaikkan pangkat untuk mengetuai suruhanjaya itu pada 24 Januari 2016. Sebelum menyertai badan pengendali pilihan raya itu pada 5 September 2014, Tan Sri Mohd Hashim adalah ketua setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Perkara 114 (3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan Pengerusi SPR memegang jawatan sehingga umur 66 tahun. Perletakan jawatan Mohd Hashim ini menambah daftar panjang senarai peralihan pimpinan institusi sejak Barisan Nasional (BN) tersingkir dari Putrajaya, sama ada melibatkan mereka yang meletakkan jawatan, tidak diperbaharui kontrak jawatan atau diganti dengan orang baru. Beliau bagaimanapun sebelum ini dikritik pemimpin Pakatan harapan (HARAPAN) dan badan pendesak pembaharuan pilihan raya BERSIH kerana memperkenalkan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan peraturan berkempen yang didakwa memberi kelebihan kepada BN. Sempadan baru kontroversi itu memecahkan banyak kawasan pilihan raya mengikut garis kaum. Ia disifatkan oleh banyak penganalisis politik ditunjukkan oleh pentadbiran Najib Razak bertujuan menyekat Pakatan Harapan (PH) menang PRU14. Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan akan mengambil tindakan terhadap Hashim jika ada bukti beliau terbabit dalam salah laku pada pilihan raya umum ke-14.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, “penipuan” oleh badan pengendali pilihan raya menyebabkan ada di kalangan calon PPBM yang kalah pada 9 Mei lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *