Prinsip Bersih, Bebas Rasuah, Telus, Berkesan Di Semua PBT

(25-5-2018)

IPOH: Semua 15 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri Perak diminta mengamalkan empat prinsip utama untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yoong Choo Kiong berkata, empat prinsip itu ialah bersih, bebas dari rasuah, telus dan berkesan.

“Kita akan berpandukan kepada empat prinsip ini dan kita akan mengutamakan rakyat, masalah rakyat kita akan ambil keutamaan dan kita akan menyelesaikannya secara berkesan.“Elak daripada ketirisan dan pembaziran, kita akan berpandu kepada semua prinsip ini dan kita harap boleh memberikan perkhidmatan yang sempurna dan lebih baik kepada semua warga Perak,” katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat pertama dengan Yang Dipertua PBT seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah di sini, hari ini.

Menurut Paul Yoong, disebabkan jawatan Ahli Majlis PBT yang dilantik oleh kerajaan terdahulu hilang kelayakan secara automatik, pelantikan Ahli Majlis baharu akan dilakukan segera bagi melancarkan perjalanan pentadbiran PBT.Sehubungan itu, katanya, parti-parti politik komponen Pakatan Harapan diminta mengenalpasti calon-calon yang layak untuk dipertimbangkan sebagai Ahli Majlis di seluruh negeri.

“Tarikh yang bersuaian untuk mencadangkan calon-calon yang bersesuaian untuk dijadikan Ahli Majlis, bermula pada hari ini, 25 Mei hingga 25 Jun, kita berikan tempoh masa satu bulan,” ujarnya.Beliau menambah, bila senarai nama telah diterima, pihaknya akan menetapkan tarikh yang sesuai untuk membuat pengumuman, seterusnya mengadakan majlis angkat sumpah, selepas mesyuarat pertama Dewan Negeri Perak ke – 14 yang dijangka selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Selepas Dewan bersidang, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri sudah angkat sumpah, lepas itu, kita akan tetapkan masa untuk Ahli Majlis mengangkat sumpah, selepas itu barulah ketua-ketua kampung dan sebagainya,” kata beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *