Anwar dijadual buat penampilan sulung esok

(15-5-2018)

Poster sedang beredar di media sosial menggesa orang ramai supaya berkumpul di Padang Timur, Petaling Jaya, petang esok untuk meraikan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar, yang dijangka diberi pengampunan esok, dikatakan akan membuat penampilan pada jam 10 malam. Beliau kemudian akan berucap kepada hadirin pada jam 10.45 malam. “Hadirlah beramai-ramai. Kita sambut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan laungan Reformasi,” kata poster itu, yang menyeru agar orang ramai berpakaian biru muda, yang merupakan warna rasmi Parti Keadilan Rakyat.

Para pemimpin tertinggi Pakatan Harapan juga dijangka hadir pada acara tersebut. Walau bagaimanapun, tidak jelas sama ada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah di antara mereka. Pada 10 Feb 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Anwar bersalah dalam tuduhan meliwat. Mahkamah juga mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas bekas pemimpin pembangkang itu. Anwar mendakwa bahawa tuduhan itu, sama seperti yang dikenakan ke atasnya pada tahun 1999 apabila Dr Mahathir adalah Perdana Menteri pada masa itu, telah direkayasa. Sebelum pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan kemenangan buat Pakatan Harapan, Mahathir berulang kali menegaskan bahawa bekas seteru politiknya itu akan diberi pengampunan. Ini bagi membolehkan Anwar kembali ke politik secara aktif serta-merta. Mahathir juga berjanji akan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Anwar dalam masa dua atau tiga tahun yang akan datang. Selepas beberapa penangguhan dan kenyataan yang bercanggah hingga menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi, semalam Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa mereka akan bertemu esok untuk memutuskan status Anwar.

Bekas ketua pembangkang kini berada di Hospital Pemulihan Cheras di Kuala Lumpur di mana dia sedang mendapat rawatan selepas menjalani pembedahan di bahu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *