Hannah Yeoh tegur ‘Pegawai Khas PM’ kelirukan rakyat isu air Selangor

(13-3-2018)

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh hari ini menegur tindakan Pegawai Khas Perdana Menteri, Isham Jalil yang meminta beliau meletakkan jawatan sebagai Speaker DUN Selangor ekoran masalah air yang melanda negeri itu.

Kata Hannah, tindakan Isham itu jelas menunjukkan Barisan Nasional (BN) gagal memahami prinsip pengasingan kuasa. “Bekalan air dah pulih. Sekarang saya nak share bagaimana ‘pegawai khas YAB PM’ mengelirukan rakyat.

“Apabila saya bersuara mengeluarkan kenyataan sebagai ADUN Subang Jaya meminta akauntabiliti daripada SPLASH, BN mula menggunakan bukan sahaja cybertroopers tapi Astro Awani/Bernama juga untuk meminta Speaker letak jawatan. Eh apa kena mengena dengan jawatan Speaker?” soalnya dalam muat naik status di Facebook.

Dalam status twitter 10 Mac lalu, Isham memuat naik status: “Saya gesa MB Azmin Ali dan Speaker Hannah Yeoh letak jawatan lah jika isu asas seperti air pun tak mampu ditangani” diikuti perkongsian pautan berita dari portal Astro Awani.

Hannah menjelaskan, SPLASH merupakan sebuah syarikat yang tidak ada kena mengena dengan jawatan Speaker malah beliau bukanlah ahli lembaga Pengarah SPLASH atau mana-mana syarikat air. “Saya juga bukan EXCO dan tidak mempunyai kuasa eksekutif. Saya ADUN Subang Jaya bersuara bagi pihak penduduk saya.

“Apalah standard pegawai khas PM minta Speaker (legislatif) letak jawatan dan tak faham prinsip pengasingan kuasa? Patutlah pentadbiran BN tidak menghormati prinsip yang sebegitu penting,” ujar beliau. Beliau turut menyindir Isham yang turut mengetuai sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

“Pegawai khas PM juga merupakan “Presiden Sukarelawan Malaysia”. Wow. Banyak sangat NGO yang mula muncul dan senang juga didaftarkan. Tapi bukan main susah parti Bersatu dan Pakatan Harapan nak didaftarkan.

“Musim pilihanraya ini macam-macam NGO dan propaganda BN akan muncul. Pandai-pandailah kita membaca dan menilai,” katanya lagi. – Roketkini.com


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *