Tun Dr Mahathir Mohamad: Najib telah lakukan sekurang-kurangnya 62 kesalahan

(9-3-2018)

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melakukan sekurang-kurangnya 62 kesalahan sejak beliau memegang jawatan pada 2009, dakwa pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya telah senaraikan kesalahannya dan menemui 60 daripadanya. Sampai hari ini saya telah senarai 60 keburukan yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib,” dakwanya ketika melancarkan manifesto Pakatan Harapan malam tadi.

Kesalahan terbaru, kata Mahathir, adalah rampasan kapal layar mewah, Equanimity, yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Jho Low.

Pada 21 Februari, Biro Siasatan Persekutuan AS (FBI) meminta pihak berkuasa Indonesia untuk menyerbu kapal layar itu.

Selepas menjejaki kapal layar itu selama lapan hari, pasukan bersama terdiri daripada polis pusat dan polis marin Indonesia serta pegawai FBI merampas kapal itu di Benoa, Bali, minggu lalu.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilaporkan berkata Khamis lepas bahawa kerajaan Malaysia tidak akan menuntut kapal itu dari pihak berkuasa Indonesia, kerana ia bukan milik kerajaan Malaysia.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa Equanimity yang dianggarkan berharga AS$250 juta (RM1 bilion), diperolehi menggunakan wang yang didakwa diseleweng dari 1MDB.

Mahathir, yang juga pengerusi BERSATU mendakwa Najib telah merosakkan negara ini sehingga dia tidak dapat meneruskan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju.

Najib sebaliknya bergantung kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan lain-lain bentuk ‘dedak’ ketika merangka dasarnya, kata Mahathir.

Mahathir berkata sesetengah rakyat telah disumbat dengan dedak itu sehinga mereka tidak boleh bergerak, tidak boleh bertutur dan tidak boleh mendengar apa-apa pun.