Kenyataan Media : DAP mahu audit menyeluruh & telus ke atas Tabung Haji atas kerugian RM351 juta

(Ipoh 27/1/16)

1. DAP hari ini menuntut audit menyeluruh & telus ke atas penyata kewangan Tabung Haji yang menunjukkan kerugian sebanyak RM351 juta.

2. Timbalan Bendahari Agong DAP Nga Kor Ming berkata, audit yang telus adalah wajib untuk menjamin supaya wang simpanan 8 juta umat Islam di Tabung Haji adalah terjamin dan tidak terjejas.

3. Penyata kewangan Tabung Haji bagi tahun kewangan 31 Disember, 2014 menunjukkan rizab terkumpul negatif iaitu kerugian terkumpul sebanyak RM351 juta. Dengan kata lain, sekiranya pendeposit-pendeposit Tabung Haji mahu mengambil kembali simpanan sebanyak RM54.358 billion, semua aset Tabung Haji adalah tidak cukup untuk membayar simpanan tersebut dan kekurangan dana adalah sebanyak RM351 juta.

4. Lebih serius adalah Bank Negara telah sah memberi amaran menerusi surat berhubung aset yang lebih rendah daripada liabilitinya, iaitu 98 sen aset berbanding dengan 1 ringgit liabiliti.

5. DAP berasa tindakan segera perlu diambil sebelum Tabung Haji menanggung kerugian yang lebih besar dan satu audit penuh yang telus adalah perlu demi menjamin hak-hak pendeposit.

6. Kerajaan digesa menubuhkan jawatankuasa khas yang berkecuali untuk menjalankan audit penuh dan jawatankuasa tersebut perlu bertanggungjawab kepada Parlimen. Laporan audit perlu dibentang kepada Dewan Rakyat untuk diperiksa demi menjamin hak-hak pendeposit.

Kenyataan media oleh

YB Nga Kor Ming

Ahli Parlimen Taiping/ timbalan bendahari Agong DAP

27/1/16

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *