Bersalah fitnah Nizar, Pesuruhjaya Pas Perak diarah bayar RM200,000.

(10-11-2017)

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria hari ini diperintahkan untuk membayar RM200,000 kepada Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Dato Seri Nizar Jamaluddin.

Bendahari Agung Pas itu didapati bersalah memfitnah Mantan Menteri Besar Perak itu dalam satu rencana yang disiarkan akhbar Sinar Harian edisi Perak bertarikh 2 Jun 2015 bertajuk “Pendekatan Nizar Mirip DAP”.

Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, D Sunita Kaur Jessy H Daljit mendapati bahawa Nizar berjaya membuktikan kes saman fitnah beliau terhadap Razman yang memfitnahnya menolak hudud serta boneka kepada DAP melalui kenyataan di akhbar Sinar Harian itu.

Hakim berpendapat, pembelaan dikemukakan Razman ke atas saman yang dikemukakan oleh Nizar adalah tidak berasas.

Dalam masa yang sama, tuntutan balas yang dikemukakan oleh Razman ke atas Nizar juga ditolak oleh mahkamah.

Di dalam tuntutan balas tersebut, Razman mendakwa bahawa kenyataan media Pakatan Rakyat pada 21 Mac 2015 yang ditandatangani oleh Nizar bersama wakil DAP dan PKR adalah satu fitnah ke atasnya selaku Pesuruhjaya Pas Perak.

Walau bagaimanpun Mahkamah Sesyen mendapati Razman telah gagal membuktikan dakwaannya itu.

Sebelum ini, Razman turut mengeluarkan saman pihak ketiga kepada Sinar Harian tetapi saman tersebut ditarik balik oleh Razman dengan kos.

Dalam perkembangan sama, Peguam Nizar, Mohd Fitri Asmuni berkata, mahkamah juga telah mengeluarkan perintah injunksi kepada Razman agar beliau tidak lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah ke atas Nizar.

Beliau menjelaskan, RM200,000 tersebut adalah bayaran untuk ganti rugi am dan ganti rugi teruk yang perlu dibayar oleh Razman kepada Nizar.

Mohammad Nizar diwakili oleh dua orang peguam iaitu Bendahari Agung AMANAH, Asmuni Awi dan Mohd Fitri Asmuni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *