Bekas diplomat sertai DAP perkukuh kedudukan parti.

KUALA LUMPUR, 10 NOV

DAP hari ini mengumumkan secara rasmi penyertaan bekas diplomat Malaysia di beberapa buah negara, Datuk Yeop Adlan Che Rose sebagai ahli parti.

Pengumuman dibuat Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook dalam sidang media di Ibu Pejabat Kebangsaan sebentar tadi.

“DAP mengalu-alukan kemasukan beliau ke dalam parti dan kita percaya bahawa beliau akan membantu memantapkan lagi DAP.

“Beliau merupakan seorang individu yang telah banyak berkhidmat kepada negara” katanya.

Menurutnya, penyertaan Yeop Adlan bersama DAP merupakan salah satu bukti bahawa DAP terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Hari ini saya berbangga bahawa beliau bersama kita dan Ketua Parlimen DAP akan menyerahkan kad keahlian DAP kepada beliau secara rasmi,” katanya.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengganggap penyertaan Yeop Adlan sebagai kepulangan memandangkan allahyarham bapanya Che Rose Hj Abdullah pernah menjadi anggota parti dan calon pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Pongsu, Perak pada 18 Disember 1974.

“Pilihan raya kecil 43 tahun lalu di Alor Pongsu merupakan testimoni bahawa sejak awal penubuhan DAP 52 tahun lalu, DAP tidak pernah menganggap dirinya sebagai ‘parti Cina’ atau ‘parti Melayu’ dan bukan sama sekali parti yang anti-Melayu atau pun anti-Islam tetapi adalah parti untuk seluruh lapisan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara kita.

“Salah satu nilai bersama yang dikongsikan pemimpin awal DAP seperti Dr. Chen Man Hin, Karpal Singh, Ibrahim Singgeh, Peter Dason, Loke Swee Chin, Patto, Kerk Kim Hock, Lau Dak Kee and Che Rose dan ramai lagi ialah komitmen dan dedikasi kami untuk menjadikan Malaysia lebih baik,” kata beliau.

Yeop Adlan berharap agar penyertaannya dapat membantu DAP memperkukuhkan perjuangan parti dalam masyarakat majmuk negara ini.

“Ini merupakan saat kebanggan bagi saya. Usaha ini sebagai menyambung perjuangan negara kearah yang lebih baik.

“Keadaan politik susah. Menghadapi masa depan yang tak tentu. Saya berharap, sedikit sebanyak dengan pengalaman saya boleh digunakan untuk perjuangan parti,” kata beliau.

Datuk Yeop Adlan Che Rose merupakan bekas duta besar Malaysia ke beberapa buah negara dan mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak tahun 1967 di Kementerian Luar Negeri.

Pada tahun 1982, beliau dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura. Pada 1988 beliau dilanti sebagai duta besar Malaysia ke Sepanyol manakala pada tahun 1992 beliau dilantik sebagai duta besar ke Mexico.

Beliau pernah menjadi Setiausaha Pengarah CHOGM (Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel) Kuala Lumpur pada tahun 1988; Datuk Pengelola Bijaya DiRaja Istana Negara pada 1989 dan Setiausaha II (Politik) Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) New York.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Dr Abdul Aziz Bari.