Perak kini negeri kedua paling miskin, Kerajaan negeri BN perlu minta maaf kepada rakyat!

Kenyataan Media

Perak kini negeri kedua paling miskin, Kerajaan negeri BN perlu minta maaf kepada rakyat!

1. Laporan kajian Khazanah Research Institute (KRI) state of household report II menunjukkan negeri Perak kini telah menjadi negeri kedua paling miskin diseluruh Malaysia.

2. Laporan tersebut adalah berasaskan kepada maklumat rasmi yang diperolehi dari Jabatan Stastistik, Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri untuk tempoh sehingga 2015.

3. Laporan tersebut jelas menunjukkan 81.1% isi keluarga di Perak mempunyai pendapatan kurang dari RM6,000 sebulan, iaitu paras pendapatan secara purata peringkat kebangsaan. Keadaan ini menyaksikan Perak menduduki kedudukan ke-2 paling bawah selepas Kelantan(84.8%) sementara Perlis bersama Pahang menjadi negeri ke-3 paling miskin. (80.3%).

4. Harus diperhatikan semua negeri miskin adalah ditadbir oleh BN dan PAS sementara negeri Pulau Pinang & Selangor yang diurus oleh Pakatan mempunyai prestasi yang jauh lebih baik, iaitu menduduki tempat ke-3 dan Ke-7.

5. Laporan tersebut menunjukkan Kedudukan Perak sebenarnya lebih parah kerana berdasarkan kepada pendapatan purata seisi keluarga(means & average household income), Perak juga menduduki kedudukan ketiga paling bawah.

6. Laporan KRI juga mendedahkan bahawa 21.3% keluarga di Perak hanya memperolehi pendapatan kurang dari RM2,000 sebulan dan 40% keluarga di Perak mempunyai pendapatan kurang dari RM3,000 sebulan. Kedudukan ini menunjukkan Perak berada di kedudukan kedua paling teruk selepas Kelantan.

7. Laporan tersebut juga menunjukkan kurang dari 20%, iaitu 18.9% keluarga di negeri Perak mempunyai pendapatan bulanan lebih dari RM6,000.00 iaitu paras purata peringkat kebangsaan.

8. Laporan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri juga menunjukkan di bawah BN, Perak kini juga merupakan negeri yang mempunyai paling ramai keluarga miskin yang berpendapatan kurang dari RM2380.00 sebulan, iaitu sejumlah 122,000 buah keluarga di Perak diletakkan dalam kategori ini.

9. Dari segi penarikan pelaburan asing, atau FDI, Perak juga menduduki tangga bawah di No.9, satu pencapaian yang cukup hambar.

10. Walaupun kerajaan BN Perak berasa marah dengan laporan Khazanah Institut ini, tetapi kemarahan Menteri Besar Dato Seri Zambry Abdul Kadir sedikit pun tidak mengubah nasib malang rakyat negeri Perak sebaliknya ia hanya mendedahkan kelemahan dan prestasi buruk kerajaan BN yang diterajui olehnya.

11. Walaupun kerajaan negeri BN cuba menutup kelemahan dengan mendakwa mereka berjaya mengurangkan paras kemiskinan dalam negeri Perak tetapi semua pihak perlu sedar takrifan kemiskinan yang ditetapkan oleh BN untuk menipu rakyat adalah untuk keluarga miskin tegar, ia bererti keluarga berpendapatan kurang dari RM520.00 sebulan dan keluarga miskin pula RM830.00, ini adalah satu paras ukuran yang tidak masuk akal dan tidak bertapak di atas bumi yang nyata.

12. Penjelasan kerajaan negeri bahawa Perak mengalami pertumbuhan KDNK atau GDP sebanyak 37.07% dalam tempoh 5 tahun adalah meleset & tidak berasas sama sekali. Kenyataan kerajaan negeri jika benar bererti Perak mengalami pertumbuhan ekonomi tahunan lebih 7.41% secara purata yang mana jelas adalah satu pembohongan.

13. Pakatan Harapan mendesak kerajaan negeri BN berhenti memutar belit isu ini sebaliknya memohon maaf segera kepada semua rakyat negeri ini dan mengumumkan dasar & rancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan paras pendapatan rakyat Perak supaya rakyat bebas dari belenggu kemiskinan.

Tarikh : 6hb September, 2016

Pakatan Harapan Perak